Volvo berhasrat menaik taraf Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan dan komponen kereta bagi rantau Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia, Madani Sahari, Volvo akan mengeksport komponen-komponen dari Malaysia ke kilang Volvo di seluruh dunia.

"Volvo mempunyai kilang-kilang mereka di China, Sweden dan Amerika. Volvo akan belli komponen dari vendor Malaysia dan eksport ke kilang di seluruh dunia."

Tambahnya, Malaysia juga akan dijadikan hab kewangan Volvo bagi rantau Asia Pasifik. Nilai pelaburan yang diluluskan Volvo setakat ini ialah $USD70 juta.

"Nilai ini bukan nilai yang akhir dan akan bertambah," katanya sambil berkata, kilang Volvo yang berpengkalan di Shah Alam, Selangor merupakan satu-satunya kilang yang beroperasi di rantau ini.

Kilang ini telah diperbaiki dan ditingkatkan kapasitinya bagi menampung jumlah pengeluaran yang bakal meningkat, katanya di sidang media selepas pelancaran kereta baru Volvo XC90.

Sementara itu, Volvo Car Malaysia telah melancarkan model SUV premiumnya Volvo XC90 T8 enjin berkembar.

Dilengkapi tujuh tempat duduk dan barisan teknologi keselamatan terbaik dunia dalam kelasnya dan dijual pada harga RM453,888.

Model ini dikuasakan rangkaian plug-in hybrid yang menawarkan kombinasi kuasa, kecekapan bahan bakar dan emisi rendah.

XC90 dibina menggunakan platform teknologi terbaru Volvo yang turut merangkumi penambahbaikan ciri keselamatan tanpa mengabaikan rekaan terkini.