JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) hari ini menafikan dakwaan mengaitkan pihaknya dengan syarikat perladangan Indonesia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah, susulan laporan diterbitkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI).
Dalam kenyataan hari ini, JCorp menjelaskan pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Menurut JCorp, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim), pihaknya telah melupuskan kepentingan dalam beberapa syarikat di Indonesia pada 2007.
“Pelupusan itu melibatkan PT Graha Cakra Mulia, PT Sumber Mahardhika Graha, PT Salonok Ladang Mas serta PT Harapan Hibrida Kalbar pada 8 Ogos 2007, disusuli PT Trimurti Sumbertama pada 26 Sept 2007, dengan hal berkaitan pelupusan itu direkodkan dalam Laporan Tahunan JCorp 2008,” menurut kenyataan itu.
JCorp memaklumkan pada 6 Julai 2023, Kulim sekali lagi melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua entiti lain iaitu PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya kepada PT Bakung Starch Lestari.
JCorp sekali lagi mengulangi pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan dalam operasi syarikat-syarikat terbabit.
Sehubungan dengan itu, JCorp menegaskan penerbitan dan penyebaran berterusan dakwaan tidak berasas itu menimbulkan tanggapan salah bahawa pihaknya memiliki, mengawal atau mengendalikan syarikat-syarikat tersebut, sekali gus mengaitkannya dengan insiden yang didakwa berlaku.
“Sebagai sebuah institusi milik kerajaan negeri, insinuasi tidak berasas ini telah menjejaskan reputasi JCorp dan Kerajaan Negeri Johor secara serius,” menurut kenyataan itu.
JCorp merupakan sebuah organisasi berteraskan nilai, dengan jumlah aset melebihi RM26 bilion setakat akhir tahun kewangan 2025.
Lima syarikat utama JCorp iaitu KPJ Healthcare Berhad, JLand Group Sdn Bhd, Johor Plantations Group Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd serta Johor Capital Group Sdn Bhd, menerajui operasi dan kepentingan kumpulan itu dalam lima sektor teras merangkumi kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, perniagaan tani, makanan dan restoran serta pelaburan modal jangka panjang.
Baru-baru ini, dapatan WALHI mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September tahun ini.
Perkara berkenaan didedahkan menerusi laporan "Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires?" diterbitkan Eksekutif Nasional organisasi itu.
-- BERNAMA