Ringkasan AI
- Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan isu parti komponen BN, termasuk MCA, akan diselesaikan secara kekeluargaan.
- Perbincangan mengenai agihan kerusi PRN Melaka telah dimulakan dan penyelesaian dijangka sebelum penamaan calon pada 31 Oktober.
- BN menekankan kerjasama jentera parti dan rakan strategik untuk mempertahankan 21 kerusi DUN di Melaka, termasuk Parlimen Masjid Tanah.
MASJID TANAH: Sebarang isu melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk MCA, akan diselesaikan secara baik menerusi semangat kekeluargaan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perbincangan telah dimulakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan yakin penyelesaian terbaik dapat dicapai sebelum penamaan calon pada 31 Oktober ini.
“Insya-Allah, ini adik-beradik, kita selesaikan cara yang baik-baik. UMNO parti yang baik dan BN adalah gabungan parti yang baik-baik.
“Insya-Allah, yang terbaik akan kita peroleh menjelang 31 Oktober ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Masjid Tanah, di sini malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN menghargai semua parti komponennya, termasuk MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain rakan-rakan gabungan menerusi Friends of BN.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan 21 kerusi-kerusi DUN di Melaka, termasuk di Parlimen Masjid Tanah.
Katanya, semangat kerjasama antara jentera BN dan rakan strategiknya penting bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Hari ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tiada isu berhubung kemungkinan MCA menarik diri daripada bertanding pada PRN Melaka, sebaliknya pertemuan antara pimpinan parti itu berlangsung secara positif.
Sementara itu, Ab Rauf ketika diminta mengulas isu sama memaklumkan BN Melaka dan MCA telah meleraikan kebuntuan berhubung isu agihan kerusi bagi PRN Melaka menerusi perbincangan yang berlangsung malam tadi.