KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dan syarikat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan lokasi strategik Azerbaijan sebagai hab bagi menembusi pasaran ke negara jiran di Asia Tengah dan Eropah Timur.

Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov menekankan kepentingan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dari Malaysia dengan menonjolkan infrastruktur pengangkutan serta komunikasi termaju negara, yang menghubungkan Azerbaijan dengan Turkmenistan, Kazakhstan, Turkiye, Georgia dan Iran.

Davudov menekankan prospek perdagangan dan pelaburan di Azerbaijan, khususnya dalam program menstruktur semula, memulihkan, dan membina semula wilayah yang dibebaskan selepas Perang Karabakh Kedua pada 2020.

"Terdapat potensi besar bagi syarikat Malaysia yang mengeluarkan barangan semikonduktor untuk membekalkannya ke Azerbaijan, di mana terdapat permintaan tinggi bagi produk sedemikian untuk pembangunan kawasan berkenaan.

"Azerbaijan telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelabur dalam hal ini," katanya kepada Bernama selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Zon Ekonomi Bebas Alat (AFEZ), yang terletak bersebelahan Pelabuhan Perdagangan Laut Antarabangsa Baku direka untuk menarik pelabur ke arah sektor pembuatan bernilai tambah tinggi, berorientasikan eksport, jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan ahli perniagaan Malaysia memanfaatkan rangkaian kereta api daripada AFEZ untuk mengeksport barangan ke pasaran Eropah dan Asia Tengah.

Azerbaijan Railways (ADY) mengendalikan rangkaian kereta api negara, menghubungkan banyak bandar dan wilayah serta menyediakan akses kepada negara-negara sekitar.

Komponen penting rangkaian pengangkutan serantau, kereta api Baku-Tbilisi-Kars (BTK) menghubungkan Baku dengan Tbilisi di Georgia dan terus ke Kars di Turkiye, mewujudkan jaringan kereta api terus antara Eropah dan Asia.

Perdagangan dua hala antara Azerbaijan dan Malaysia mencecah US$94 juta (RM429 juta) tahun lalu, berbanding sekitar US$77 juta (RM351 juta) pada 2021.

Dalam perkembangan sama, Davudov menasihati pelabur Azerbaijan untuk meneroka peluang di Malaysia dan menganggap negara itu sebagai hab untuk memasuki pasaran lain dalam rantau ASEAN.

Beliau menambah bahawa terdapat usaha berterusan untuk mempamerkan peluang pelaburan di Perak, Negeri Sembilan, Sabah, dan Sarawak.

Dengan populasi seramai 10.4 juta, Azerbaijan ialah sebuah negara berpendapatan sederhana atas, berkongsi sempadan dengan Iran, Georgia, Rusia, Turkiye, Armenia dan Georgia.

Hubungan diplomatik antara Azerbaijan dan Malaysia terjalin pada 5 April 1993, memasuki ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun ini.

Kedutaan Azerbaijan mula beroperasi di Kuala Lumpur pada Jun 2007, manakala kedutaan Malaysia di Baku dibuka pada 1 April 2014.

-- BERNAMA