KUALA LUMPUR: Malaysia dilaporkan muncul sebagai destinasi yang tidak dijangka untuk industri semikonduktor global, di sebalik kegemaran konvensional China ekoran langkah syarikat-syarikat itu mahu melindungi kepentingan geopolitik mereka. 

Akhbar perniagaan Financial Times yang berpangkalan di United Kingdom melaporkan berpuluh-puluh syarikat telah menubuhkan operasi di Malaysia dalam tempoh 18 bulan yang lalu, terutamanya di Pulau Pinang, seperti gergasi cip Amerika Micron dan Intel, syarikat semikonduktor Eropah AMS Osram dan Infineon, dan Fengshi Metal Technology yang berasal dari Suzhou, China. 

“Ramai berpusu-pusu. Bukan sahaja syarikat China [yang ditubuhkan di Pulau Pinang] tetapi juga syarikat Korea, Jepun, dan Barat. 

"Dan semua ini berkaitan dengan perang teknologi antara AS dan China," kata ketua eksekutif pembekal alat ganti AS, Marcel Wismer, dipetik oleh Financial Times. 

Sementara itu, David Lacey, seorang eksekutif di Pulau Pinang untuk AMS Osram yang berpangkalan di Switzerland - antara firma luar negara pertama yang mewujudkan kehadiran di Pulau Pinang - memberitahu akhbar itu bahawa kepelbagaian rantaian bekalan telah bermula dengan wabak itu tetapi "[latar belakang] geopolitik menyebabkan orang ramai mencari lokasi dan sumber alternatif”. 

Laporan itu berkata Malaysia telah menjadi sebahagian daripada "bahagian belakang" rantaian bekalan pembuatan semikonduktor selama lima dekad yang lalu - terlibat dalam pembungkusan, pemasangan dan ujian cip - tetapi kini cuba untuk meningkatkan rantaian nilai dan melibatkan dirinya dalam aktiviti nilai lebih tinggi seperti fabrikasi wafer dan reka bentuk litar bersepadu. 

Pelaburan di Pulau Pinang telah berkembang pesat dengan RM60.1 bilion dalam pelaburan langsung asing pada 2023, lebih daripada jumlah yang diterima dari 2013 hingga 2020 digabungkan - membawa antara lain peningkatan harga tanah perindustrian daripada kira-kira RM50 sekaki persegi pada 2022 kepada sebanyak RM85 sekaki persegi, menurut pengarah eksekutif firma hartanah Knight Frank Pulau Pinang Mark Saw. 

Antara pemain baharu di Pulau Pinang termasuk syarikat China, mendorong presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai memberi peringatan supaya berwaspada di mana AS mungkin meletakkan produk dan peralatan yang dibina di Malaysia dalam senarai terhad di masa hadapan.

"Sekatan selanjutnya mungkin akan terbukti tidak produktif, terutamanya memandangkan kehadiran ketara syarikat AS di Malaysia," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, yang menunjukkan "tanda tanya" tentang apa lagi yang boleh dilakukan AS. 

FT juga memetik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa membangunkan industri semikonduktor dan tenaga kerja Malaysia kepada pembuatan bernilai lebih tinggi adalah "matlamat kritikal". 

Anwar juga dipetik sebagai mengakui tahap "kelekaan" masa lalu dalam usaha meningkatkan industri semikonduktor selepas ledakan awal pada 1970-an dan 1980-an. 

Beliau juga berkata Putrajaya telah mengarahkan MITI untuk melihat apa yang ditawarkan oleh negara lain untuk kekal berdaya saing. 

Pada bulan Januari, Tengku Zafrul berkata bahawa eksport semikonduktor Malaysia bersedia untuk meraih faedah daripada permintaan global yang lebih tinggi.

Beliau berkata Malaysia melihat faedah yang datang daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya daripada sektor cip dan semikonduktor, dan dasar negara mengenai "berkecuali aktif" antara Amerika Syarikat (AS) dan China adalah sangat penting kerana syarikat Malaysia sedang mencari daya tahan rantaian bekalan. - Dagang News