KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menggesa pemain-pemain industri minyak sawit beralih secara strategik ke arah meneroka pasaran lain yang berpotensi tinggi untuk eksport minyak sawit.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Belvinder Sron berkata langkah itu perlu dibuat memandangkan industri minyak sawit Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan peraturan global yang berubah-ubah dan kecenderungan pasaran.

"Adalah perlu untuk meneroka pasaran baharu dan yang berkembang pesat. Industri minyak sawit mesti mengembangkan jejaknya di wilayah seperti Afrika Timur dan Barat, Asia Tengah, dan Timur Tengah sambil mempergiatkan usaha untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit di negara-negara pengimport sedia ada.

"Dengan mempelbagaikan pasaran, ini akan membantu mengurangkan risiko terlalu bergantung pada pasaran tunggal dan meningkatkan daya tahan industri minyak sawit Malaysia," katanya pada Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan 2023 (NPOC23).

Mengenai pasaran Kesatuan Eropah (EU), Sron menekankan kepentingan meletakkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai pematuhan yang diiktiraf bagi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Beliau menekankan bahawa pengiktirafan itu boleh membuka pintu kepada pasaran EU untuk pengeluar minyak sawit Malaysia dan meningkatkan lagi reputasi industri sebagai pilihan yang mampan dan bebas penebangan hutan serta memastikan pekebun kecil minyak sawit Malaysia terus mendapat akses kepada pasaran global.

"EU adalah destinasi ketiga terbesar untuk eksport dan penggunaan minyak sawit pada tahun lepas, ia memegang kepentingan ekonomi yang ketara bagi sektor minyak sawit Malaysia.

"Berdasarkan perkara ini, pemberhentian eksport minyak sawit ke EU, terutamanya melalui usaha sama pada masa ini dan masa depan antara syarikat Malaysia dan rakan syarikat Eropah akan memberi kesan," katanya.

Sehubungan itu, Sron berkata memenuhi standard EUDR memerlukan pematuhan kepada penanda aras kawal selia dan memenuhi keperluan usaha wajar dengan memastikan piawaian MSPO sejajar dengan kawal selia EUDR, melarang penebangan hutan selepas 2019 dan mewajibkan pematuhan kepada semua undang-undang yang berkaitan.

Beliau menambah dengan meletakkan MSPO sebagai skim pensijilan yang boleh dipercayai, Malaysia boleh memastikan minyak sawitnya bersedia memenuhi keperluan usaha wajar yang ketat ini, sekali gus menjamin akses kepada pasaran Eropah.

-- BERNAMA