JAKARTA: Malaysia merupakan sumber pelaburan asing kelima terbesar di Indonesia pada suku kedua 2026, dengan menyumbang US$700 juta (US$1 = RM4.65), manakala keseluruhan pelaburan direalisasi Indonesia berjumlah Rp511.8 trilion (Rp1 juta = RM225).
Menteri Pelaburan dan Hiliran Rosan Roeslani berkata Hong Kong adalah sumber pelaburan asing terbesar bagi Indonesia pada suku kedua berjumlah US$5.5 bilion, diikuti oleh Singapura (US$4.2 bilion), China (US$1.7 bilion) dan Jepun (US$900 juta).
Beliau berkata kedudukan tersebut mencerminkan bidang kuasa pelaburan itu masuk ke Indonesia dan dana direkodkan dari Malaysia, Singapura, dan Hong Kong tidak semestinya berasal daripada syarikat yang berpangkalan di negara berkenaan.
“Pelaburan itu direkodkan berdasarkan negara di mana ia masuk ke Indonesia, jadi ia tidak semestinya berasal dari negara tersebut,” katanya dalam satu sidang media disiarkan secara langsung di YouTube pada Khamis.
Rosan berkata realisasi pelaburan pada suku kedua menokok 7.1 peratus tahun ke tahun kepada Rp511.8 trilion, sekali gus mewujudkan 742,223 peluang pekerjaan, melonjak 5.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jumlah keseluruhan pelaburan direalisasi pada separuh pertama 2026 adalah sebanyak Rp1,010.6 trilion, naik 7.2 peratus tahun ke tahun, mewakili 49.5 peratus daripada sasaran tahunannya, langkah itu telah menjana pekerjaan untuk 1,448,862 orang, iaitu peningkatan 15 peratus berbanding setahun lepas, katanya.
Beliau berkata Singapura kekal sebagai pelabur asing terbesar di Indonesia pada separuh pertama 2026 dengan jumlah pelaburan direalisasi sebanyak US$8.8 bilion, diikuti oleh Hong Kong (US$7.8 bilion), China (US$3.9 bilion), Jepun (US$1.9 bilion) dan Amerika Syarikat (US$1.7 bilion).
Rosan berkata kerajaan terus menambah baik iklim pelaburan melalui reformasi kawal selia, termasuk Peraturan Kerajaan No 28 diperkenalkan Oktober lalu, ia telah memberikan lebih kepastian dalam proses pelesenan dan disambut baik oleh para pelabur.
“Negara-negara jiran kita juga sedang memperbaharui dasar dan peraturan mereka, justeru Indonesia mesti terus melakukan perkara sama,” katanya.
Pelaburan dalam industri hiliran mencapai Rp152.7 trilion pada suku kedua, merangkumi 29.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan direalisasi, naik 5.7 peratus tahun ke tahun.
Rosan berkata bauksit mengatasi nikel sebagai komoditi pelaburan hiliran terbesar pada suku kedua, didorong oleh beberapa projek baharu diusahakan oleh pelabur domestik dan asing.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperluaskan pembangunan hiliran melebihi sektor mineral untuk merangkumi minyak sawit, getah, kayu balak, pasir silika dan komoditi lain telah dikenal pasti dalam pelan tindakan hiliran Indonesia.
-- BERNAMA