Skip to main content

Bisnes

Malaysia perlu bersedia hadapi import lebih mahal susulan konflik Asia Barat - Tengku Zafrul

81721037960_tbTengkuZafrul.jpg
Tengku Zafrul berkata, Malaysia merupakan negara perdagangan dengan eksport dan import barangan bernilai tinggi yang dihantar melalui ruang udara rantau tersebut. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia menghadapi impak seperti import yang lebih mahal susulan konflik di Asia barat, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara perdagangan dengan eksport dan import barangan bernilai tinggi yang dihantar melalui ruang udara rantau tersebut.

Advertisement

Katanya beberapa penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik kerana ruang udara di Asia Barat ditutup ataupun dihadkan akibat ketegangan yang tercetus.

“Apabila laluan tidak selamat, penerbangan terpaksa dilencong ataupun dibatalkan. Ini bermaksud penerbangan ke Eropah jadi lebih jauh, (menyebabkan) kos bahan api meningkat dan kargo udara berisiko lewat.

“Apabila penghantaran lewat, kos naik dan harga (barang) pun naik,” katanya menerusi perkongsian di media sosial miliknya pada Ahad.

Ketegangan di Asia Barat meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Asua Barat.

Menurut Tengku Zafrul, pasaran minyak juga bertindak pantas sebab Iran berada berhampiran laluan minyak yang paling kritikal di dunia.

“Apabila konflik meningkat, harga minyak pun melonjak kerana pasaran takut gangguan bekalan minyak.

“Justeru, (harga) minyak naik, logistik naik, harga (barang) pun naik,” katanya.

Beliau berkata apabila dunia tidak stabil, pelabur cenderung mencari tempat selamat seperti dolar AS dan emas, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit melalui aliran keluar modal.

“Apabila ringgit tertekan, import (akan jadi) lebih mahal,” katanya.

Mengenai kesan konflik di Asia Barat terhadap “poket” rakyat Malaysia, Tengku Zafrul berkata impaknya bergantung pada tempoh konflik tersebut.

“Kalau sekejap, impaknya terhad, kalau lama, kita kena bersedia,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found