Malaysia sedia buka akses produk ayam, makanan ternakan untuk eksport ke Ethiopia

Anwar dan Abiy mengadakan sidang media bersama di Istana Negara, Addis Ababa, 19 Nov 2025. - Foto Pejabat Perdana Menteri
ADDIS ABABA: Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan untuk dieksport ke Ethiopia selain menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Malaysia bersedia membuka akses produk ayam, sarang burung, dan makanan ternakan untuk dieksport ke Ethiopia, serta menawarkan kepakaran sawit dan benih berkualiti.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Dr Abiy Ahmed Ali sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET, dan penyelidikan.
- Malaysia dan Ethiopia akan memperluas kerjasama ekonomi baharu merangkumi perdagangan, pelaburan, modal insan, dan hubungan antara kedua-dua negara, termasuk dalam bidang AI, semikonduktor, industri halal, dan keselamatan siber.
"Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini.
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik kemajuan termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama dan keterhubungan antara kedua-dua negara.
"Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara.
"Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan," kata beliau.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara berkenaan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, yang merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.
"Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing," kata Perdana Menteri yang menyifatkan pertemuan dua hala berkenaan sebagai "sarat dan penuh bermakna".
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua itu.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 Nov untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Beliau kemudian akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum pulang ke tanah air.
Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


