ISLAMABAD: Dua anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan petugas vaksinasi polio maut ditembak lelaki bersenjata berhampiran sempadan Afghanistan pada Selasa ketika petugas kesihatan menjalankan kempen vaksinasi dari rumah ke rumah di Pakistan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pegawai polis Shakeel Khan berkata serangan itu berlaku di daerah Mohmand, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa di barat laut negara berkenaan.
"Sekurang-kurangnya dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan itu," kata Khan.
Petugas kesihatan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kempen vaksinasi berkenaan dihentikan buat sementara waktu.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya empat petugas kesihatan yang menjalankan tugas vaksinasi dilaporkan hilang di daerah Tank, wilayah sama.
Serangan terbaharu itu berlaku pada hari kedua kempen vaksinasi polio di peringkat subnasional yang bertujuan melindungi kira-kira 24 juta kanak-kanak di 97 daerah berisiko tinggi di seluruh negara.
Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa kempen vaksinasi itu akan "dilaksanakan secara serentak di Pakistan dan Afghanistan, dua negara terakhir di dunia yang masih mencatatkan penularan endemik virus polio liar, dengan sokongan penyelarasan rentas sempadan yang kukuh".
Pada Ahad, Pakistan melaporkan kes polio kelapan bagi tahun ini.
Menurut pegawai, ribuan kanak-kanak terlepas peluang menerima vaksinasi susulan peningkatan keganasan yang menyebabkan penyakit berkenaan, yang boleh mengakibatkan kelumpuhan, kembali menular.
Pakistan dan negara jirannya, Afghanistan, merupakan antara segelintir negara di dunia yang masih mencatatkan kes baharu polio.
-- BERNAMA-dpa