HANOI: Jumlah dagangan Vietnam melepasi AS$1 trilion buat kali pertama dalam tempoh 10 bulan pertama 2026, didorong permintaan kukuh terhadap produk elektronik dan barangan perkilangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Pejabat Perangkaan Negara di bawah Kementerian Kewangan pada Selasa, jumlah nilai eksport dan import Vietnam bagi tempoh Januari hingga Oktober mencecah AS$1.0106 trilion, meningkat 32.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Eksport meningkat 27.5 peratus kepada AS$499.2 bilion, manakala import melonjak 37.4 peratus kepada AS$511.3 bilion.
Eksport komputer dan komponen elektronik mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 71 peratus kepada AS$149.4 bilion, sekali gus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan eksport negara itu.
Sementara itu, eksport mesin dan peralatan meningkat 30.4 peratus kepada AS$63.3 bilion.
Syarikat yang menerima pelaburan asing menyumbang 81.2 peratus daripada jumlah eksport Vietnam bernilai AS$405.3 bilion, mencerminkan kebergantungan negara itu terhadap pengeluar asing.
Dalam pada itu, bahan dan peralatan pengeluaran merangkumi 94.1 peratus daripada keseluruhan import Vietnam.
China kekal sebagai sumber import terbesar Vietnam dengan nilai barangan yang diimport mencecah AS$212.5 bilion.
Vietnam turut mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$140.1 bilion dengan Amerika Syarikat (AS) dan AS$40.8 bilion dengan Kesatuan Eropah (EU).
Data terbaharu itu dikeluarkan ketika Vietnam berusaha memperkukuh sektor pembuatannya dan mempelbagaikan pasaran eksport dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global serta rantaian bekalan yang semakin meningkat.
-- BERNAMA-dpa