Skip to main content

Bisnes

Malaysia sedia teruskan perbincangan perdagangan, pelaburan dengan Taiwan - Johari

Johari berkata, Malaysia telah lama menjalinkan hubungan perdagangan dengan Taiwan, dan setakat ini perdagangan dan pelaburan sedia ada terus berjalan seperti biasa. - Bernama
Johari berkata, Malaysia telah lama menjalinkan hubungan perdagangan dengan Taiwan, dan setakat ini perdagangan dan pelaburan sedia ada terus berjalan seperti biasa. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia meneruskan perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata Malaysia telah lama menjalinkan hubungan perdagangan dengan Taiwan, dan setakat ini perdagangan dan pelaburan sedia ada terus berjalan seperti biasa.

“Dengan Taiwan, kita terus berdagang seperti biasa. Kita eksport, import dengan Taiwan itu biasa. Tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MySaham MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) di sini hari ini.

Advertisement

Ketika ditanya sama ada tarikh baharu telah ditetapkan bagi mesyuarat yang ditangguhkan, Johari berkata pertemuan dengan wakil Taiwan diadakan secara berkala dan pihaknya terbuka untuk terus membincangkan aspek perdagangan dan pelaburan.

“Baru-baru ini wakil Taiwan ada datang berjumpa, bermesyuarat…tiada sekatan. Kalau cerita soal perdagangan memang tiada apa-apa sekatan,” katanya.

Advertisement

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Taiwan mengesahkan negara itu menggantung rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah meminta supaya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC) yang ditangguhkan itu diteruskan.

Beliau berkata perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan dijalankan di peringkat jawatankuasa kerja, selaras dengan pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China yang dipegang sejak 1974.

Menurut Anwar Malaysia terus menerima pelaburan dari Taiwan, dan semakan dengan MITI setakat ini tidak menunjukkan petanda pelabur Taiwan akan menarik diri. 

Beliau berkata kerajaan juga terus memudah cara pelaburan dari Taiwan terutama dalam bidang semikonduktor dan cip.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, perdagangan Malaysia dengan Taiwan meningkat 47.1 peratus kepada RM254.21 bilion, dengan eksport Malaysia ke Taiwan melonjak 88 peratus kepada RM116.58 bilion.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 1,737 projek pembuatan dengan penyertaan Taiwan telah dilaksanakan di Malaysia, melibatkan pelaburan bernilai RM34.3 bilion dan mewujudkan 234,660 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement