Skip to main content

Malaysia

Data peribadi jadi senjata along digital menindas mangsa

Adam berkata, antara modus operandi yang disalah guna pihak along adalah mengambil kesempatan terhadap kebenaran akses maklumat peribadi ketika pengguna memasang aplikasi pinjaman.
Adam berkata, antara modus operandi yang disalah guna pihak along adalah mengambil kesempatan terhadap kebenaran akses maklumat peribadi ketika pengguna memasang aplikasi pinjaman.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemudahan mendapatkan wang dalam tempoh singkat menerusi aplikasi pinjaman digital kini semakin membimbangkan apabila ada peminjam bukan sahaja dibebani hutang, malah berdepan ugutan serta pendedahan maklumat peribadi kepada orang terdekat.

"Orang ramai khususnya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta lebih berhati-hati dengan tawaran pinjaman wang yang menjadikan pengeluaran simpanan KWSP sebagai asas perjanjian pembayaran balik. Taktik ini dilihat semakin membimbangkan apabila peminjam hanya menyedari jumlah kerugian sebenar apabila tiba masanya untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.

Lebih mengejutkan, tindakan yang didakwa dilakukan sesetengah pemberi pinjaman itu turut melibatkan penyebaran gambar peminjam kepada ahli keluarga, rakan dan kenalan sebagai tekanan untuk menuntut bayaran.

Advertisement

Ketua Perunding Unit Banteras Along DM, Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain, Adam Mustapa berkata, antara modus operandi yang digunakan adalah mengambil kesempatan terhadap kebenaran akses maklumat peribadi ketika pengguna memasang aplikasi pinjaman.

Menurutnya, tanpa menyedari risiko berkenaan, pengguna mungkin membenarkan aplikasi mengakses senarai kenalan, gambar dan pelbagai maklumat dalam telefon pintar mereka.

Advertisement

Maklumat itu kemudiannya boleh dijadikan senjata untuk mengugut apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran mengikut tempoh atau jumlah yang ditetapkan pihak pemberi pinjaman.

Katanya, terdapat kes mangsa menerima tekanan apabila gambar serta butiran peribadi mereka disebarkan menerusi media sosial, selain ahli keluarga dan kenalan dihubungi bagi memalukan peminjam.

Adam berkata, Unit Banteras Along DM pernah mengendalikan kes seorang ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan 116 pemberi pinjaman, sekali gus menggambarkan betapa seriusnya perangkap hutang berkenaan.

Dalam kes itu, mangsa turut menjadi sasaran penyebaran gambar kepada individu yang tersimpan dalam senarai kenalan telefon bimbitnya.

"Satu lagi kes membabitkan seorang wanita yang bekerja di jabatan kerajaan, apabila penglibatannya dengan satu aplikasi pinjaman akhirnya berkembang kepada 50 aplikasi berbeza. Lebih membimbangkan, ada juga individu yang kami temui hanya menerima RM2,000 daripada pinjaman berjumlah RM8,000, tetapi diminta membayar semula sebanyak RM24,000.

"Selain itu, mangsa turut berdepan tindakan menyebarkan gambar dan maklumat peribadi melalui akaun media sosial yang mempunyai kaitan dengan tempat kerjanya," katanya.

Mengulas perkara itu, Adam menegaskan pinjaman daripada ahlong bukan penyelesaian kepada kesempitan kewangan, sebaliknya berpotensi memburukkan keadaan sehingga peminjam sukar melepaskan diri daripada beban hutang.

"Belum ada lagi orang yang meminjam daripada ahlong kemudian menjadi semakin kaya. Kebiasaannya, sebelum meminjam mereka sudah berada dalam kesusahan. Tetapi selepas meminjam, kesusahan itu menjadi lebih besar," katanya.

Beliau berkata, tawaran pinjaman yang menjanjikan kelulusan segera dan proses mudah sering menjadi tarikan utama, namun pengguna perlu menyedari risiko apabila maklumat peribadi diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Difahamkan, tawaran seumpama ini turut dikaitkan dengan aktiviti pemberian pinjaman melalui pihak yang menjalankan perniagaan Pinjaman Wang Berlesen (PWB).

"Apabila peminjam gagal membuat pembayaran mengikut perjanjian yang ditandatangani, mereka berdepan tuntutan bayaran yang lebih tinggi, ancaman rekod kredit seperti CTOS, panggilan telefon berulang kali serta gangguan ke kediaman bagi tujuan kutipan hutang," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menyemak kesahihan pemberi pinjaman, meneliti syarat perjanjian serta mengelakkan pemberian akses kepada data peribadi tanpa memahami tujuan penggunaannya, selain melaporkan sebarang ugutan atau penyalahgunaan maklumat kepada pihak berkuasa.

Must Watch Video

Advertisement