Skip to main content

Malaysia

Tindakan Majlis Peguam terhadap AGC hak mereka - Azalina

AZALINA: “Itu hak mereka. Tetapi saya selalu tekankan bahawa apabila bercakap mengenai isu di bawah Perkara 42, ia merupakan apa yang disebut sebagai the 'prerogative of mercy'."
AZALINA: “Itu hak mereka. Tetapi saya selalu tekankan bahawa apabila bercakap mengenai isu di bawah Perkara 42, ia merupakan apa yang disebut sebagai the 'prerogative of mercy'."
Advertisement

KAJANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tindakan Majlis Peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai hak badan itu.

Beliau berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kuasa berkenaan diberikan sepenuhnya atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, manakala Biro Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hanya bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan.

Advertisement

“Itu hak merekalah. Tetapi saya selalu tekankan bahawa apabila bercakap mengenai isu di bawah Perkara 42, ia merupakan apa yang disebut sebagai the prerogative of mercy.

“Kita tahu kuasa pengampunan itu merupakan antara kuasa yang diberikan sepenuhnya atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi MADANI di Akademi Perundangan Negara (APN), Bandar Baru Bangi, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan BHEUU tidak mempunyai kuasa membuat keputusan berhubung pengampunan kerana peranannya hanya sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, Lembaga Pengampunan turut melibatkan wakil kerajaan dan Jabatan Peguam Negara, selain Ketua Menteri atau Menteri Besar bagi peringkat negeri.

“BHEUU hanya bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan. Jadi, bagi saya, itu hak Majlis Peguam.

“Instrumen itu sememangnya dibenarkan dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 42, dan keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Majlis Peguam merasakan mempunyai hak untuk mempersoalkan perkara berkenaan, badan itu berhak mengambil tindakan sedemikian.

Dalam perkembangan berasingan, mengulas cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya pelaksanaan tahanan rumah diperluas kepada semua individu yang layak, Azalina berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara berkaitan pelaksanaan tahanan rumah pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti pendekatan berkenaan sebagai mekanisme baharu.

“Saya rasa dia kena bincang dengan Menteri Dalam Negeri kerana dimaklumkan perkara itu pernah dibincangkan dalam Kabinet.

“KDN mahu melihat isu tahanan di rumah sebagai pendekatan baharu. Saya tidak tahu kerana saya tidak bertanggungjawab dalam perkara itu,” katanya.

Azalina berkata, tanggungjawabnya lebih tertumpu kepada aspek undang-undang dan reformasi institusi, manakala perkara berkaitan pelaksanaan tahanan rumah berada di bawah tanggungjawab KDN.

Untuk rekod, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman dan peringanan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja atau Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement