KUALA LUMPUR: Pembedahan untuk menyambung semula pergelangan tangan kanan seorang anggota polis yang terputus akibat diserang oleh seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong, semalam, berjaya dilaksanakan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Susulan kejayaan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di atas kejayaan berkenaan.
“Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan Neurosurgeri HKL, yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy.
“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara. Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang.
“Kepada Lans Koperal Thierry, seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam. Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memastikan saudara terus menerima rawatan rapi yang menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin,” katanya.
Dalam masa sama, Dzulkefly turut mendoakan agar Thierry dikurniakan kesembuhan, serta berharap ahli keluarga diberikan ketabahan menghadapi ujian berat itu.
Semalam, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang, di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengecam tindakan berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya, demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam kenyataan berasingan turut mendoakan agar anggota polis terbabit segera sembuh dan akan menyumbang RM5,000 sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada Thierry.
-- BERNAMA