Ringkasan AI
- Penubuhan Pejabat Pembelaan Awam dengan 143 perjawatan diluluskan untuk memperkukuh akses masyarakat kepada bantuan guaman dan reformasi sistem keadilan negara.
- Pejabat ini akan bekerjasama dengan YBGK serta memperkukuh penyediaan bantuan guaman, manakala pindaan Akta Bantuan Guaman disasarkan pada suku pertama 2027.
- Kerajaan turut memperluas pelaksanaan Mediasi MADANI melalui JBG, menawarkan penyelesaian pertikaian alternatif dengan yuran pendaftaran RM10.
BANGI: Penubuhan Pejabat Pembelaan Awam yang diluluskan sebanyak 143 perjawatan dijangka memperkukuh akses masyarakat kepada bantuan guaman, sekali gus menjadi antara langkah penting dalam agenda reformasi sistem keadilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kelulusan itu merangkumi jawatan ketua pada gred JUSA C bagi menerajui pejabat berkenaan.
Beliau berkata, Pejabat Pembelaan Awam akan berperanan bersama Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam memperkukuh penyediaan bantuan guaman kepada golongan yang memerlukan.
Pelaksanaan pindaan Akta Bantuan Guaman pula disasarkan pada suku pertama 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata kerajaan turut memperkukuh pendekatan penyelesaian pertikaian di luar mahkamah menerusi pelaksanaan Mediasi MADANI.
Menurutnya, pengantaraan menyediakan platform alternatif kepada masyarakat untuk menyelesaikan pertikaian melalui rundingan menerusi Jabatan Bantuan Guaman (JBG).
“Jadi dengan ada pengantaraan, mereka boleh datang ke Jabatan Bantuan Guaman untuk mendapatkan platform penyelesaian pertikaian alternatif menerusi proses mediasi yang kita tawarkan di bawah Pusat Mediasi MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi MADANI Jabatan Bantuan Guaman 2026 di Akademi Perundangan Negara, di sini, pada Khamis.
Azalina turut menegaskan bahawa proses mahkamah seharusnya menjadi pilihan terakhir dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian.
“Kadang-kadang apabila pergi ke mahkamah, prinsipnya ialah mahkamah ini perlu dilihat sebagai pendekatan yang terakhir,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 210 peserta telah mengikuti enam siri kursus pensijilan profesional pengantaraan sebelum menerima sijil serta lantikan sebagai pengantara.
Inisiatif itu bertujuan membudayakan pengantaraan sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang lebih mudah diakses, fleksibel dan berorientasikan masyarakat.
JBG turut menyediakan perkhidmatan mediasi dengan yuran pendaftaran sebanyak RM10, manakala lebih banyak kursus pengantaraan dirancang untuk dilaksanakan tahun depan, termasuk menerusi kerjasama dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Usaha memperkukuh bantuan guaman dan memperluas pelaksanaan Mediasi MADANI merupakan antara pendekatan kerajaan dalam meningkatkan akses kepada keadilan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada proses litigasi.