KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar 2024 Malaysia berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus, dengan sektor pembuatan sebagai pemacu utama.

Syarikat itu berkata sektor pembuatan diunjur berkembang sebanyak 4.2 peratus (2023: 1.4 peratus).

Seiring dengan pengenalan pelan tindakan perindustrian dan ekonomi baru-baru ini kerajaan, termasuk Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Belanjawan 2024 bertujuan untuk terus membangunkan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dalam sektor pembuatan di tengah-tengah kebimbangan terhadap penyahindustrian pramatang, kata MARC dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Dari masa ke masa, adalah penting bahawa pelbagai rancangan kekal fokus dan mampu dicapai, untuk memastikan jangkaan itu dipenuhi. Pelan menyeluruh kerajaan menyediakan hala tuju yang berharga untuk ekonomi tetapi juga harus mempunyai matlamat untuk mengurangkan penyelarasan dan kerumitan pentadbiran untuk kedua-dua sektor awam dan swasta," kata MARC.

Bertepatan dengan matlamat pembangunannya, MARC berkata Malaysia kekal komited untuk meningkatkan produktiviti sebenar dengan memperluaskan insentif cukai automasi, menggalakkan penggantian buruh asing dengan teknologi, memupuk keusahawanan, memajukan modal insan dalam bidang pemangkin dan melabur dalam infrastruktur.

Komitmen ini menjangkau RM11.8 bilion yang diperuntukkan untuk projek tebatan banjir, serta pelbagai peningkatan pengangkutan dan peruntukan khusus untuk pelancongan sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kata MARC.

"Bergantung kepada pelaksanaan pelan tindakan pembangunan dan komited terhadap penambahbaikan dasar fiskal pada masa yang ditetapkan, Belanjawan 2024 adalah langkah progresif ke arah mencapai pertumbuhan KDNK yang berkualiti di Malaysia dan memacu pembangunan sosioekonomi selanjutnya dalam tempoh yang mencabar," katanya.

Pada 13 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024, yang terbesar dalam rekod dengan peruntukan RM393.8 bilion (Bajet 2023: RM388.1 bilion), walaupun lebih rendah sedikit daripada jumlah perbelanjaan untuk 2023 dianggarkan RM397. 1 bilion. - BERNAMA