KOTA BHARU: Pengendali rangkaian restoran makanan segera halal Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd bakal membuka kira-kira 40 buah cawangan baharunya di Kelantan menjelang tahun 2027.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Daniel Chan berkata langkah itu dilakukan berikutan sambutan memberangsangkan daripada penduduk negeri ini sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

"Setakat ini terdapat 10 cawangan Marrybrown di Kelantan melibatkan kira-kira 200 pekerja dan kita lihat sambutan terhadap produk kami terutama golongan muda semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Berdasarkan faktor tersebut, kita merancang untuk menambah 30 hingga 40 cawangan baharu lagi di kawasan bandar dan luar bandar negeri ini kerana permintaan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan menu baharu Marrybrown 'Menu Riang Ramadan Raya' di cawangannya dekat Jalan Long Yunus, di sini semalam.

Menu baharu itu adalah Nasi Ayam Penyet Marrybrown dan Kombo Burger Ayam Penyet disediakan secara eksklusif sepanjang bulan Ramadan dan Syawal bermula semalam sehingga 28 April 2024.

Beliau berkata cawangan Marrybrown juga akan ditambah di Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat berikutan prestasi jualan yang semakin meningkat.

"Setakat ini, Marrybrown memiliki kira-kira 500 cawangan, sebanyak 250 cawangan di Malaysia dan selebihnya di luar negara termasuk Myanmar, Timur Tengah dan Maldives," katanya.

-- BERNAMA