Malaysia Airlines (MAS) menyambut ketibaan pesawat Boeing 737 yang ke-100 dari jenis B737-800 di Zon Bantuan Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Isnin.

Pesawat keluaran syarikat yang berpangkalan di Seattle, Amerika Syarikat itu mendarat pada jam 1.45 petang Isnin dan diberikan sambutan tradisi semburan air sebaik ia bergerak menuju ke Hangar 5.

Bercakap pada majlis sambutan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat 737 menjadi kebanggaan dan harapan buat MAS dan akan terus memberikan khidmat dan keselesaan terbaik buat penumpangnya.

“Varian Boeing 737 terus menjadi pesawat yang hebat untuk syarikat penerbangan kami dengan kebolehpercayan yang konsisten, ekonomi dan keselesaan penumpang yang tiada tandingan.

“Dengan kerjasama yang telah terbina bersama Boeing sejak lebih 40 tahun, MAS memulakan operasi B737nya sejak 1972 dengan varian B737-200 diikuti siri -300, -400, -500 dan kini generasi terbaru iaitu B737-800,” katanya.


Boeing
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut serta dalam perjalanan membawa pulang pesawat pesawat Boeing 737 yang ke-100


Dengan kecekapan bahan api 15 peratus lebih baik berbanding varian klasik B737-400, itu mampu berada di udara sehingga 6 jam.

Pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-MXY itu, berbadan kecil dengan 160 tempat duduk, dilengkapi dengan hiburan ketika penerbangan dan menawarkan ruang simpan barang di atas tempat duduk yang lebih besar.


Boeing
Pesawat keluaran syarikat yang berpangkalan di Seattle, Amerika Syarikat itu mendarat pada jam 1.45 petang Isnin

Ahmad Jauhari bersama bersama Komander Bertugas Kapten Kamrozaman berlepas dari Seattle pagi 19 Disember, berhenti di Hawaii dan Guam sebelum tiba di KLIA.

Penerbangan tersebut mengambil masa 21 jam 21 minit, merangkumi jarak 15,640 kilometer.

Turut sama dalam penerbangan itu adalah dua orang kakitangan penerbangan, Pegawai Perakuan Keselamatan Terbang Jabatan Penerbangan Awam Cik Siti Khadijah, tiga orang jurutera serta dua staf pengurusan.