Ringkasan AI
- Penang FC merehatkan Ketua Jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail berkuat kuasa serta-merta selepas kekalahan 1-2 kepada Melaka FC dalam Liga Super.
- Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi pasukan yang tidak mencapai sasaran dan KPI ditetapkan.
- Pengarah Teknikal Penang FC, Victor Andrag, akan mengambil alih tugas sebagai pengendali pasukan sementara menunggu keputusan lanjut pengurusan kelab.
GEORGE TOWN: Keputusan merehatkan Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya sebahagian daripada perancangan teknikal, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.
Beliau berkata isu kelemahan telah dibangkitkan kepada Wan Rohaimi, namun prestasi skuad Harimau Kumbang masih tidak menunjukkan perkembangan positif, berdasarkan sasaran dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan khususnya dalam saingan Liga Super musim ini.
“Sejurus selepas perlawanan semalam (kalah 1-2 kepada Melaka FC), kita menyaksikan terdapat beberapa kelemahan yang masih belum diatasi, jadi memang lembaga pengarah telah mengambil keputusan untuk merehatkan Wan Rohaimi.
“Berdasarkan kepada KPI yang ditetapkan awal musim ini, memang kita rasa agak sukar dan jauh daripada sasaran kita, sebab itu kita tidak mempunyai banyak pilihan melainkan merehatkan jurulatih buat masa ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Malam tadi, Penang FC memaklumkan Wan Rohaimi direhatkan daripada mengendalikan pasukan itu berkuat kuasa serta-merta, susulan kekalahan 1-2 kepada Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, semalam.
Sehubungan dengan itu, Pengarah Teknikal Penang FC Victor Andrag akan mengambil alih tugas sebagai pengendali pasukan berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas kemungkinan pelantikan ketua jurulatih baharu, Gooi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Penang FC yang dijadualkan berlangsung selepas persidangan DUN Pulau Pinang berakhir Jumaat ini.
Beliau berkata keputusan berhubung struktur pengurusan pasukan juga akan diteliti secara menyeluruh, namun buat masa ini perubahan hanya melibatkan jawatan ketua jurulatih.
Gooi berkata kontrak Wan Rohaimi sememangnya akan tamat Disember ini dan pelaksanaannya tertakluk kepada pencapaian pasukan.
"Kelab ini adalah segala-galanya dan lebih besar daripada mana-mana individu. Kita akan mengambil segala tindakan sewajarnya bagi memastikan prestasi kelab mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.
Prestasi skuad Harimau Kumbang dilihat hambar apabila menduduki tangga ke-11 liga selepas mengharungi enam perlawanan dengan mengutip empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri.
-- BERNAMA