Ringkasan AI
- Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah menafikan dakwaan tidak menamatkan pengajian di UKM dan mengesahkan akan menghadiri majlis graduasi selepas hari pengundian.
- Calon termuda PRN Melaka ke-16 itu berazam membawa naratif politik baharu serta menyelesaikan isu komuniti nelayan dan banjir di DUN Kuala Linggi.
- Mukhlis akan bertanding tiga penjuru di DUN Kuala Linggi menentang penyandang BN dan calon Parti Bersama Malaysia pada 14 November.
MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah menafikan dakwaan kononnya beliau tidak berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebaliknya, calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang mesra dipanggil Mukhlis, 25, itu berkata beliau telah tamat pengajian dalam bidang undang-undang di universiti berkenaan.
“Malah saya akan menghadiri majlis graduasi di UKM yang akan berlangsung cuma beberapa hari selepas hari pengundian iaitu pada 22 Nov,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH di Bukit Piatu di sini hari ini.
Calon termuda pada PRN Melaka ke-16 itu berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan di media sosial kononnya beliau tidak menghabiskan pengajian di UKM.
Mengulas mengenai tawarannya kepada pengundi, Mukhlis berazam untuk membawa naratif politik baharu dan segar di Kuala Linggi bagi meningkatkan kepercayaan golongan muda kepada keupayaan dan peranan ahli politik dalam membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di DUN berkenaan.
“Tapi kita tidak akan fokus kepada generasi muda sahaja, kita akan pastikan usaha menyeluruh termasuklah menangani sebarang isu berkaitan komuniti nelayan di sini serta akan berusaha menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di beberapa kawasan DUN ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhlis berkata beliau akan mengambil semangat dan komitmen bapanya, Julasapiyah Kassim, yang kekal menyantuni dan terus berkhidmat di Kuala Linggi, biarpun tidak berjaya memenangi kerusi DUN itu dalam lima percubaannya sebelum ini.
“Ya orang kecam, ayah saya pernah bertanding di sini lima kali, sejak saya belum lahir lagi dan tidak pernah menang, tetapi saya ambil itu sebagai benih perjuangan untuk tambah semangat bekerja lebih keras untuk mendapatkan hati pengundi di DUN Kuala Linggi.
“Saya ini dari kecil sudah lihat ayah bekerja dan bertemu rakyat di sini, jadi soal khidmat ini sudah sebati dalam diri, walaupun kalah dia tetap bekerja, jadi benih-benih baik itu kita ambil supaya kita dapat bawa satu implikasi yang sangat baik di DUN Kuala Linggi, teruskan semangat ayah itu,” katanya.
Pada PRN kali ini, Mukhlis yang membuat penampilan sulung di pentas pilihan raya akan berhadapan saingan tiga penjuru di DUN Kuala Linggi menentang penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Rosli Abdullah dan Nur Farhana Hamzah (Parti Bersama Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
-- BERNAMA