KUALA LUMPUR: Maybank telah melantik Khalijah Ismail sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO) berkuat kuasa 1 Okt, 2021.

Khalijah telah menjadi Pemangku GCFO sejak 29 Jun 2021, berikutan peletakan jawatan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir untuk mengambil alih jawatan Pengarah Urusan di Khazanah Nasional Bhd.

Khalijah juga mempunyai pengalaman luas di Maybank setelah memegang pelbagai jawatan utama dalam kumpulan termasuk operasi perbendaharaan, perbankan korporat dan pelaburan dan operasi antarabangsa, serta menguruskan program transformasi menyeluruh untuk Maybank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata pelantikan Khalijah menunjukkan kesinambungan pucuk pimpinan dalaman Maybank.

"Selain itu, ia juga sejajar dengan komitmen kami mendukung aspek kepelbagaian dan ekuiti.

"Dengan lebih 30 tahun pengalaman perniagaan dan kewangan serta kemampuan terbukti dalam pengurusan beberapa fungsi Kewangan Kumpulan, Khalijah melengkapkan dan mengukuhkan lagi Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan dan pasukan pengurusan kanan kami dalam merealisasikan aspirasi M25 kami serta memperkuat cita-cita perkhidmatan kewangan serantau Maybank.

"Kami mengharapkan sumbangan berterusan beliau kepada Kumpulan dengan kapasiti yang lebih besar dan luas," katanya.

-- BERNAMA