Skip to main content

Bisnes

Dari khemah kecil, Pelosok Salai intai pasaran nasional menerusi produk RTE

PELOSOK SALAI_TB
Tiga produk sedia dimakan (RTE) utama Pelosok Salai, iaitu Masak Lemak Siput Sedut, Daging Batang Pinang Salai Lemak Cili Api dan Daging Palembang. - Gambar Pelosok Salai
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bermula dari khemah kecil berukuran 8 kaki x 8 kaki pada Oktober 2022, Pelosok Salai kini mengorak langkah daripada perniagaan restoran kepada jenama makanan tempatan menerusi rangkaian produk sedia dimakan (RTE).

Perjalanan itu menerima pengiktirafan apabila Pelosok Salai meraih Anugerah Penyertaan Berimpak Tinggi bagi segmen Pentas Jual pada Jelajah JIWA SME 2026.

Pengasas merangkap Pengarah Pelosok Salai, Mohd Bazli Atan berkata, pencapaian tersebut memperlihatkan potensi produknya untuk berkembang dan menembusi pasaran lebih luas.

“Kemenangan Penyertaan Berimpak Tinggi di Pentas Jual JIWA SME 2026 menjadi pengiktirafan terhadap potensi produk Pelosok Salai untuk memasuki pasaran yang lebih luas.

“Pelosok Salai membawa cita rasa tradisional ke dalam produk RTE yang mudah dan praktikal, dengan pengguna hanya perlu memanaskannya sebelum dinikmati tanpa melalui proses memasak yang rumit,” katanya.
 

Image
PELOSOK SALAI_INSERT
Mohd Bazli Atan, bersama tiga produk RTE utama syarikat yang mengetengahkan cita rasa tradisional dalam bentuk lebih praktikal. - Gambar Pelosok Salai

Beroperasi di bawah OLEORAH (M) SDN BHD, Pelosok Salai mengetengahkan masakan tradisional dalam bentuk yang lebih praktikal bagi memenuhi keperluan pengguna dengan gaya hidup moden.

Antara keunikan produk itu ialah penggunaan kayu rambutan dalam proses menyalai daging sebelum dimasak mengikut resipi tradisional Pelosok Salai.

Kaedah berkenaan menghasilkan rasa dan aroma salai tersendiri, selain mengekalkan identiti hidangan tradisional dalam produk yang mudah disediakan.

Tiga produk utama yang diketengahkan ialah Daging Batang Pinang Salai Lemak Cili Api, Daging Palembang dan Masak Lemak Siput Sedut.

Menurut Bazli, pembangunan rangkaian RTE bertujuan membolehkan pelanggan menikmati masakan tradisional dengan lebih cepat tanpa bergantung sepenuhnya kepada kunjungan ke restoran.

Pendekatan itu juga membolehkan Pelosok Salai memperluas capaian kepada pelanggan di seluruh negara melalui saluran jualan digital.

Selain produk RTE, syarikat itu merancang memperluas rangkaian produk sejuk beku dan sedia dimasak bagi memenuhi keperluan pasaran yang lebih pelbagai.

“Fokus semasa syarikat ialah memperluas produk RTE, produk sejuk beku dan sedia dimasak melalui saluran jualan dalam talian serta program keusahawanan,” tambahnya.
 

Image
PELOSOK SALAI_INSERT
Hidangan Masak Lemak Siput Sedut, Daging Palembang dan Daging Batang Pinang Salai Lemak Cili Api dalam rangkaian produk RTE Pelosok Salai yang hanya perlu dipanaskan sebelum dinikmati. - Gambar Pelosok Salai

Segmen Pentas Jual yang berlangsung sempena Jelajah JIWA SME 2026 memberi ruang kepada usahawan tempatan membentangkan produk, penyelesaian perniagaan dan keunikan tawaran masing-masing di hadapan panel juri.

Selain Pelosok Salai, GeniusKids menerima Anugerah Penyertaan Terbaik, manakala Koleksi Gemilang meraih Anugerah Penyertaan Pilihan Khas bagi segmen sama.

Produk RTE Pelosok Salai boleh didapati melalui TikTok Shop dan Shopee, manakala tempahan serta pertanyaan boleh dibuat menerusi WhatsApp di +60 10-278 0552.

Must Watch Video

Advertisement