Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Jaga pemimpin yang tidak ‘sakau’ - PM Anwar

 Anwar Ibrahim, kuala pilah, MADANI
Anwar berkata, pemimpin yang diberikan amanah perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, termasuk dalam mengurus agensi dan pentadbiran negara. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA PILAH: Rakyat diseru supaya menghargai dan mempertahankan pemimpin yang mempunyai akhlak baik, rajin bekerja serta tidak terlibat dengan salah guna kuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin yang diberikan amanah perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, termasuk dalam mengurus agensi dan pentadbiran negara.

“Kalau ada pemimpin, akhlaknya baik, kerjanya rajin, tidak curi, tidak sakau, jagalah mereka.

“Sebab itu saya datang, untuk bantu Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar. Kerana saya tahu rekod dia. Tak ada rekod balak hilang, kontrak hilang, ambil duit, hantar keluar negara, tidak ada,” katanya ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Tambah Anwar, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan kesedaran bersama dan bukan dipengaruhi sentimen atau kebencian.

“Saya mohonlah kerjasama dengan kawan-kawan, selamatkanlah negeri ini, selamatkanlah negara ini, pilih bukan sentimen, bukan kebencian, angkat kesedaran bersama,” ujar Anwar.

Beliau turut menegaskan pemimpin yang diberikan tanggungjawab perlu melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

“Ini tanggungjawab kita. Niat kita, ikhlas kerana Allah. Jadi kita ini, orang Melayu Islam, contoh terbaik. Contoh bagi umat Islam, contoh bagi umat Malaysia, contoh bagi umat manusia keseluruhannya,” katanya.

Pada Sabtu ini, seramai 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, memilih wakil rakyat baharu yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Must Watch Video

Advertisement