KUALA LUMPUR: SME Corp. Malaysia (SME Corp.) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM70 juta termasuk melalui padanan perniagaan sempena Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang bakal diadakan pada penghujung Jun 2023 di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, dengan tema ‘Mula Berdikit, Azam Melangit’, SME Corp. yakin Minggu PMKS 2023 dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada semua pihak khususnya di era pasca pandemik.

“PMKS menjadi keutamaan bagi kerajaan memandangkan ianya membentuk 1.2 juta atau 97.4 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di Malaysia.

“Ini juga selaras dengan situasi global, yang mana lebih daripada 95 peratus daripada perniagaan bagi semua ekonomi di seluruh dunia merupakan PMKS,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Niaga AWANI pada Isnin.

Dalam penganjuran tahun 2022, sebanyak 183 program keusahawanan dan aktiviti tarikan pengunjung dilaksanakan di seluruh negara sepanjang Minggu PMKS itu berlangsung.

Ia melibatkan pelbagai kementerian, agensi, kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan, pasaraya dan pusat beli-belah, persatuan dan dewan perniagaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta institusi kewangan.

Agenda AWANI: Harta Intelek | Kenapa perlu ambil peduli?

Menurut Rizal, Minggu PMKS dianjurkan bagi mengiktiraf kepentingan dan sumbangan kumpulan perniagaan itu kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mana pada tahun 2021, PMKS mencatatkan sumbangan sebanyak 37.4 peratus atau RM518.1 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sebanyak 11.7 peratus atau RM124.3 billion daripada jumlah tersebut adalah sumbangan kepada eskport negara selain ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 7.32 juta individu.

“Kita ingin menggalakkan lagi pertumbuhan segmen ini, justeru itu para PMKS boleh memanfaatkan Minggu PMKS dengan mempromosi, mempamer dan mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai dan komuniti perniagaan.

“Selain itu, ia turut mampu mewujudkan rantaian perniagaan dan peluang pelaburan baharu PMKS dengan syarikat-syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara serta dapat membantu PMKS mendapatkan akses dan kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan juga pemain kewangan alternatif,” ujarnya.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik dalam Minggu PMKS 2023 termasuk karnival jualan murah, gerai pameran, khidmat nasihat secara bersemuka mahupun dalam talian iaitu bukan hanya kaunselor perniagaan SME Corp. bahkan banyak lagi agensi yang melaksanakan program keusahawanan, sesi pocket talk, bengkel Keusahawanan, sesi pemadanan perniagaan serta program latihan keusahawanan.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung Minggu PMKS 2023 atau ingin menyertai Minggu PMKS sebagai pempamer, boleh dapatkan maklumat tersebut melalui media sosial rasmi SME Corp. Malaysia (Facebook & Instagram) atau lawati laman sesawang di www.smecorp.gov.my