BUSINESS
MKM labur RM32 juta jamin tempat duduk untuk umrah musim 1447H

Muhammad Najmi (dua dari kanan) bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MKM Humaidi Mat Jahya (tiga dari kanan) serta Abdul Hadi (tiga dari kiri) dan Pengurus Besar MKM, Mohd Amir Mursyid Abdul Rahman (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU.
KUALA LUMPUR: Kegusaran bakal jemaah umrah berhubung tempat duduk selepas ini akan lenyap kerana sejumlah agensi pengendalian ibadah itu sudah memperoleh jaminan penerbangan.
Insiden bakal jemaah berhadapan kesulitan ekoran pengendali menawarkan pakej tidak sah tidak akan kedengaran lagi berikutan perkhidmatan Amal by Malaysia Airlines sudah memeterai kerjasama straegik dengan 13 agensi umrah tempatan bagi memastikan kelancaran umrah musim 1447 Hijrah.
Antara agensi yang diyakini akan menawarkan perkhidmatan terbaik ialah MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd yang bersiap sedia memastikan kelancaran perjalanan jemaah pada musim hadapan.
Memahami terdapat permintaan yang tinggi dan konsisten bakal jemaah untuk berkunjung ke Tanah Suci, MKM meningkatkan pelaburan sehingga RM32 juta untuk memberi jaminan perkhidmatan pengendalian umrah di bawah jenama syarikat itu.Menurut Ketua Pegawai Strategik MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman, pelaburan yang dibuat agensi berkenaan untuk pengendalian ibadah itu beritik tolak pada matlamat syarikat itu untuk memastikan bakal jemaah dapat berlapang dada tanpa memikirkan risiko tidak mendapat tempat duduk.
Apa lagi dengan kerjasama bersama Amal by Malaysia Airlines, jelas beliau, merupakan jaminan bakal jemaah berpeluang mengerjakan ibadah dengan tenang dan lancar.
“Menerusi pelaburan ini, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd berupaya memberi jaminan ketersediaan tempat duduk bagi jemaah umrah musim 1447 Hijrah selain penginapan yang ideal untuk bakal jemaah apabila berkunjung ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada musim hadapan,” kata Abdul Hadi kepada Astro AWANI.
Minggu lalu, MKM bersama-sama dengan 12 agensi umrah lain menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amal by Malaysia Airlines sebagai rakan strategik.
Kerjasama itu bagi membolehkan setiap agensi terpilih menerima tempat duduk yang telah disahkan oleh Amal selain akses kepada pakej umrah menyeluruh dan perkhidmatan nilai tambah lain.
Bermula Julai 2024 sehingga April 2026, Amal dijadual mengendalikan lebih 700 penerbangan bagi musim umrah 1447 Hijrah, melibatkan sekitar 200,000 jemaah iaitu peningkatan berbanding 180,000 jemaah pada musim lalu.
Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor berkata, pertumbuhan konsisten sejak enam tahun lalu mendorong syarikat itu menyasarkan penambahan kapasiti antara 20 hingga 30 peratus, dari segi jumlah penerbangan dan tempat duduk yang ditawarkan.
“Daripada hanya empat agensi umrah berlesen pada peringkat awal penubuhan pada 2019, kami kini bekerjasama dengan 13 agensi umrah, berbanding 10 agensi pada tahun lalu,” katanya.
Menurut Najmi, hanya agensi yang berlesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta memiliki reputasi baik dipilih sebagai rakan strategik.
“Kerjasama ini juga menekankan komitmen bersama dalam menjaga kualiti perkhidmatan dan menyelesaikan cabaran operasi secara kolektif,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, lebih 50 peratus tempat duduk diperuntukkan kepada agensi rakan strategik, manakala 10 peratus disediakan untuk jemaah luar negara, termasuk agensi lain dan jemaah persendirian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami