Skip to main content

Bisnes

MKRS tembusi pasaran Arab Saudi, perkukuh jejak kejuruteraan Malaysia di Asia Barat

MKRS lebar sayap ke arab saudi.. kredit awani
Saravanan Karrupayah (dua dari kiri) dan Fahad Almishal (dua dari kanan) pada majlis i perjanjian kerjasama strategik dan pengembangan perniagaan Malaysia-Arab Saudi 2026 antara kedua-dua syarikat itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan penyelesaian kejuruteraan dan perindustrian tempatan, MKRS Group of Companies (MKRS), mengorak langkah ke pasaran Arab Saudi menerusi kerjasama strategik dengan Sinyar Saudi Industrial Investment Company, sekali gus memperkukuh kedudukannya di rantau Asia Barat.

Kerjasama itu dilihat selari dengan usaha Arab Saudi mempercepat transformasi ekonominya melalui agenda pembangunan jangka panjang negara tersebut, selain membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk memperluaskan pengaruh dalam sektor perindustrian dan kejuruteraan global.

Sinyar Saudi Industrial Investment Company merupakan syarikat pelaburan dan pembangunan industri yang berpangkalan di Arab Saudi dengan penglibatan dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan perindustrian, kejuruteraan, minyak dan gas, limbungan kapal, perkhidmatan penerbangan, pelaburan strategik serta pemindahan teknologi.

Pengerusi MKRS, Datuk Saravanan Karrupayah berkata, perkembangan itu mencerminkan perjalanan syarikat yang telah berkembang pesat sepanjang 35 tahun sejak penubuhannya pada 1990.

Menurut beliau, MKRS yang bermula sebagai sebuah perusahaan kecil kini muncul sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Salah satu pemangkin utama perkembangan syarikat ialah pengenalan System Scaffolding Solution pertama buatan Malaysia yang telah membuktikan keupayaannya menerusi pelaksanaan beberapa projek mega termasuk Pembangunan Bersepadu Pengerang (RAPID) serta pelbagai kemudahan minyak dan gas,” kata  beliau dalam sidang media baru-baru ini.

Terdahulu, beliau memeterai perjanjian kerjasama strategik dan pengembangan perniagaan Malaysia-Arab Saudi 2026 antara kedua-dua syarikat itu.

Majlis turut dihadiri Pengasas serta Pengerusi Sinyar Saudi Industrial Investment Company, Fahad Almishal.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, MKRS komited membawa teknologi dan kepakaran kejuruteraan tempatan ke Arab Saudi bagi membantu membangunkan ekosistem pengeluaran serta rantaian bekalan yang lebih mampan.

Katanya, pendekatan itu sejajar dengan agenda penyetempatan industri yang sedang dipacu kerajaan Arab Saudi dalam memperkukuh kapasiti domestik negara berkenaan.

Selain pemindahan teknologi, kerjasama tersebut turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan dengan mewujudkan peluang lebih luas kepada tenaga kerja mahir Malaysia untuk terlibat dalam projek-projek bertaraf antarabangsa.

“Sehingga kini, MKRS telah melatih dan mengiktiraf lebih 32,000 tenaga kerja teknikal menerusi pelbagai program pembangunan kompetensi yang dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pengembangan syarikat itu turut mendapat sokongan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia) menerusi kemudahan pembiayaan eksport serta fasilitasi perniagaan antarabangsa.

Saravanan berkata, kerjasama yang dimeterai bukan sekadar berasaskan kepentingan komersial, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kepakaran teknikal Malaysia dengan peluang pertumbuhan ekonomi yang sedang berkembang pesat di Arab Saudi.

Sementara itu, Fahad berkata, Malaysia memiliki kelebihan kompetitif dalam bidang pembuatan inovatif dan perkhidmatan perindustrian yang mampu menyumbang kepada penciptaan nilai ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, kekuatan itu menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik penting dalam usaha membangunkan sektor perindustrian yang lebih mampan dan berdaya saing di rantau berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement