KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Berhad (MNRB) kekal kukuh bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Mac 2022 (FY2022) dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4% dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful kepada RM3 bilion berbanding RM2.6 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan pelaburan bersih bagi FY2022 adalah lebih rendah berbanding tahun lalu yang menyebabkan pengurangan dalam Keuntungan Bersih Kumpulan sebanyak 39.6% kepada RM114.4 juta.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Zaharudin Daud berkata, FY2022 telah memberi beberapa cabaran kepada persekitaran operasi kumpulan dengan pasaran domestik tidak terkecuali daripada mengalami impak secara langsung dan tidak langsung daripada pandemik global ini.

Sepanjang separuh pertama tahun kewangan kata beliau, pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan untuk menangani peningkatan semula kes COVID-19 dan variannya.

“Dalam meneruskan operasi pada tahun ini seiring dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, kita telah  dilanda kejadian banjir besar pada Disember 2021, dan sebagai sebuah organisasi reinsurans dan takaful yang bertanggungjawab, entiti-entiti kami segera bertindak dalam mengharungi cabaran akibat bencana tersebut.

“Kumpulan MNRB telah menunjukkan daya tahan yang tinggi, dalam mengharungi cabaran dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada FY2022,” kata beliau. -DagangNews