PETALING JAYA: Sejumlah 473 acara melibatkan 43 sukan dimuktamadkan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia tahun depan.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) (2025-2027) yang turut dihadiri presiden dan wakil negara anggota menerusi persidangan secara dalam talian hari ini.
“Setakat ini sangat baik (respons negara anggota), saya beri peluang untuk mereka bertanya tetapi mereka sangat jelas dengan keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita sejurus selepas mesyuarat tersebut berakhir di sini hari ini.
Daripada 43 sukan tersebut, Nur Azmi berkata terdapat lima sukan rayuan yang dimohon sebelum ini diluluskan untuk disenaraikan bagi temasya edisi ke-34 itu, iaitu padel, sukan tari, teqball, hoki ais dan kabaddi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 Datuk Abdul Rashid Yaakub mengesahkan setakat ini sukan padel akan dipertandingkan di kluster Kuala Lumpur, manakala sukan tari berlangsung di Sarawak.
Abdul Rashid berkata enam negara menyatakan minat untuk menyertai sukan padel yang merupakan penampilan sulung sukan itu pada temasya dwitahunan berkenaan.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di empat kluster iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, dari 18 hingga 29 Sept tahun depan.
-- BERNAMA