ISKANDAR PUTERI: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menerusi program Road2Growth (R2G) 2023 Wilayah Selatan di Johor, yakin dapat menarik lebih banyak syarikat berinovasi dan berteknologi tinggi dalam bidang robotik dan IR4.0 di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata, kedudukan ekonomi Johor yang dilihat semakin kukuh menjadi antara faktor penentu bagi MTDC mengembangkan syarikat ekosistemnya di wilayah Selatan.

Katanya pada R2G di Pulau Pinang  Mac lalu, banyak penyertaan syarikat berasaskan Elektronik & Semikonduktor.

"Kami membawa lebih banyak kumpulan syarikat, lebih ramai penyelidik di Johor, sebagai sebahagian daripada syarikat 4IR, robotik, automasi dan dron.

"Kami merasakan Johor akan membawa lebih banyak kelainan berbanding di Pulau Pinang dan kami berharap jumlah syarikat yang menyertai kami hari ini akan mempercepatkan rangkaian, lebih banyak rangkaian hubungan kerja di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program R2G bersama rakan strategik, Iskandar Investment Berhad (IIB) di Medini 6, di sini, pada Isnin.

Jelas Mohammad Hazani, sambutan program itu di Selatan tanah air amat memberangsangkan dengan penyertaan lebih 200 peserta.

Katanya semua pihak termasuk industri kecil dan sederhana perlu membangunkan produk perkhidmatan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (4iR).

"Ini bagi memastikan syarikat itu kekal relevan, bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi pasaran global.

"Kadang kita sudah rasa kita sedang maju, tetapi syarikat global diluar sudah maju dan bersaing. Jika tidak menggunakan 4iR kita mungkin ketinggalan dan lambat maju," katanya.

Program R2G adalah platform untuk menyebarkan maklumat dan memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh MTDC iaitu program pembiayaannya, program latihan usahawan teknologi di bawah Akademi Latihan Usahawan Tekno (TENTRA), penyelesaian teknologi i4.0 oleh MTDC Centre of Nine Pillars® (Co9P®), khidmat nasihat teknikal dan perniagaan serta pusat teknologi MTDC.

Melalui pelbagai sesi R2G, para peserta akan dapat mendengar pandangan mengenai pelaburan perniagaan, mengambil bahagian dalam penyampaian perniagaan, meneroka peluang i4.0 dengan penyelesaian teknologi yang disediakan oleh Co9P®, pusat berasaskan komuniti untuk membantu memupuk i4.0 inovasi dan menyertai sesi rangkaian perniagaan untuk menerima maklumat langsung daripada syarikat dan rakan kongsi ekosistem MTDC.