KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah memperoleh pensijilan ISMS ISO 27001 dengan sokongan daripada syarikat ekosistemnya sendiri Nexagate Sdn Bhd.

Dalam kenyataan pada Isnin, katanya pensijilan ISMS ISO 27001 adalah piawaian antarabangsa yang diluluskan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd dan menyediakan rangka kerja untuk menguruskan dan melindungi maklumat sensitif.

Susulan pensijilan yang diterima, MTDC mempamerkan komitmennya terhadap keselamatan maklumat, sebagai aspek penting untuk pertumbuhan Industri 4.0 di Malaysia.

Langkah ini bagi memastikan maklumat yang sensitif dilindungi secukupnya daripada akses atau kecurian tanpa kebenaran, sekali gus membolehkan MTDC memacu kemajuan teknologi negara yang selanjutnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammad Hazani Hassan berkata MTDC gembira kerana menerima pensijilan ISMS ISO 27001 dengan bantuan daripada Nexagate.

"Pensijilan ini mencerminkan komitmen teguh kami terhadap keselamatan maklumat, yang penting kepada MTDC untuk menawarkan penyelesaian teknologi bertaraf dunia kepada pelanggan kami dengan keyakinan terhadap keselamatan dan privasi data mereka.

"Matlamatnya adalah bagi memastikan adanya tahap perlindungan untuk kerahsiaan, kebolehdapatan dan integriti maklumat dalam skop yang ditetapkan," katanya.

Aktiviti-aktiviti teras MTDC, antaranya pelaburan dan pembiayaan strategik, Centre of 9 Pillars(R) (Co9P(R)), pusat teknologi, perkhidmatan penasihat teknologi dan perniagaan serta Akademi Latihan Usahawan Teknologi, (TENTRA) kesemuanya dilindungi oleh pensijilan ISMS.

Pensijilan ini merangkumi tujuh lokasi MTDC iaitu di ibu pejabatnya di Menara Yayasan Tun Razak, Pusat Teknologi UPM-MTDC TIC I dan TIC III, Serdang; Pusat Teknologi UKM-MTDC, Bangi; Pusat Usahawan Teknologi UiTM-MTDC, Shah Alam dan Pusat Teknologi FRIM-MTDC, Kepong.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nexagate Khairil Effendy berkata syarikat itu memainkan peranan penting untuk membantu MTDC memperoleh pensijilan dengan menyediakan bimbingan dan sokongan pakar sepanjang proses ini.

Beliau berkata pasukan profesional Nexagate yang berpengalaman, membantu MTDC untuk mengenal pasti, menilai dan menguruskan risiko berkaitan keselamatan maklumat, memastikan organisasi itu bersedia sepenuhnya bagi audit pensijilan ini.

Pencapaian MTDC bagi pensijilan ISMS ISO 27001 memaparkan komitmennya terhadap keselamatan maklumat dan privasi data, mencerminkan dedikasi agensi itu dalam menyampaikan penyelesaian teknologi yang inovatif kepada pelanggan dengan keyakinan tinggi.

Nexagate komited untuk membantu organisasi melindungi aset digital, melindungi data pelanggan dan mematuhi keperluan kawal selia.

Dengan pasukan profesional yang berpengalaman dan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif, Nexagate komited untuk memberikan kualiti perkhidmatan dan sokongan terbaik kepada pelanggan, katanya.

-- BERNAMA