KUALA LUMPUR: Persekutuan UAV Sedunia (WUAVF) – Malaysia Chapter bersama Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA) akan menganjurkan MyDrone Expo 2026 (MDX2026) sempena sambutan ulang tahun ke-10 Drone World Congress Malaysia (DWC Malaysia).
Presiden WUAVF Malaysia Chapter dan MUDA, Datuk Lester Tay, berkata penganjuran DWC Malaysia 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dron dan teknologi tanpa pemandu di rantau ASEAN.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan merasmikan acara berprestij tersebut, yang dijangka menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, pelabur dan inovator teknologi dari seluruh dunia.
“Sebanyak 46 Chapter Negara WUAVF yang mewakili rantau Asia, Eropah, Amerika, Afrika dan Oceania telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam kongres ini.
“Kehadiran delegasi antarabangsa, pemimpin industri, pembuat dasar serta pemain utama sektor teknologi akan membuka ruang kepada pertukaran ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kongres berkenaan akan menjadi platform penting untuk membincangkan perkembangan terkini industri dron global termasuk aspek kawal selia, aplikasi teknologi serta peluang pelaburan masa hadapan.
Lester berkata, MDX2026 juga selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkasakan ekonomi negara melalui teknologi berimpak tinggi dan inovasi digital.
“Acara ini mencerminkan kepentingan strategik industri dron dan teknologi tanpa pemandu dalam menyokong agenda transformasi ekonomi negara serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global,” ujarnya.
Sebagai platform perdagangan dan jaringan perniagaan bertaraf antarabangsa, MDX2026 akan menghimpunkan pengeluar, penyedia teknologi, inovator, pelabur dan pembeli dari dalam serta luar negara.
Beliau menambah ekspo itu, yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 27 Jun 2026 di Tapak Pameran Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri dron Malaysia serta memperluaskan akses syarikat tempatan ke pasaran antarabangsa.
Antara tarikan utama yang bakal diketengahkan sepanjang ekspo termasuk lebih 100 gerai pameran daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, forum industri, seminar teknikal, demonstrasi penerbangan dron secara langsung serta sesi padanan perniagaan.
Selain itu, pameran teknologi dron pertanian, logistik UAV, robotik pemeriksaan industri dan sistem automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi antara fokus utama acara tersebut.
Pavilion khas untuk syarikat Malaysia, peserta antarabangsa dan finalis anugerah industri turut diwujudkan bagi memperluaskan peluang kolaborasi dan pembangunan perniagaan.
Mengulas lanjut, Lester berkata penyertaan komuniti dron Malaysia yang dianggarkan mewakili hampir satu juta penggiat, pengendali dan peminat dron dalam ekosistem industri negara dijangka menyerlahkan lagi skala serta impak penganjuran berkenaan.
Sebagai kemuncak penganjuran, Gala Dinner & Industry Excellence Awards Night (GIEAN) 2026 akan diadakan bagi meraikan individu, organisasi dan syarikat yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan industri dron, robotik dan teknologi negara.
Majlis berprestij itu akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Tetamu Kehormat Diraja bagi menyampaikan anugerah penghargaan kepada penerima yang berjaya.