Skip to main content

Malaysia

Borneonisasi: Pengisian jawatan Persekutuan di Sabah 71.88 peratus, Sarawak atasi sasaran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kadar pengisian jawatan Persekutuan kumpulan pengurusan dan profesional anak tempatan di Sabah ialah 71.88 peratus, masih di bawah sasaran 90 peratus.
  • Bagi Sarawak, kadar pengisian jawatan kumpulan sama mencapai 87.10 peratus, melepasi sasaran 80 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri.
  • Kadar pengangguran siswazah di Sabah menurun kepada 7.1 peratus pada 2024 berbanding 7.9 peratus pada 2023, menurut statistik DOSM.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kadar pengisian jawatan Persekutuan dalam kumpulan pengurusan dan profesional anak tempatan di Sabah mencapai 71.88 peratus setakat 12 Okt lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata kadar berkenaan bagaimanapun masih di bawah sasaran 90 peratus yang ditetapkan Kerajaan Negeri Sabah seperti dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya bagi Sarawak, beliau berkata kadar pengisian jawatan bagi kumpulan berkenaan telah mencecah 87.10 peratus, sekali gus melepasi sasaran 80 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri itu.

Advertisement

“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa menyokong dasar Borneonisasi dengan memberi keutamaan kepada anak negeri Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing.

“Prinsip ini diterjemahkan menerusi proses penempatan pegawai guna sama dengan mengambil kira aspek kekosongan, merit, kesesuaian dan persetujuan kerajaan negeri,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai status pelaksanaan Borneonisasi, termasuk peratusan pengisian jawatan serta langkah memastikan ketelusan penempatan dan peluang kenaikan pangkat penjawat awam tempatan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Mustapha berkata dasar itu turut diperkukuh melalui sesi libat urus JPA bersama pengurus sumber manusia kementerian dan jabatan bagi menerangkan prosedur penempatan pegawai perkhidmatan bukan guna sama yang mengutamakan pegawai kelahiran Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 33,691 penjawat awam kelahiran Sabah dan Sarawak sedang berkhidmat di Semenanjung setakat 11 Nov lepas, berdasarkan data Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

Daripada jumlah itu, sebanyak 17,734 orang berasal dari Sabah manakala 15,957 orang dari Sarawak, dengan kumpulan pelaksana merekodkan jumlah tertinggi iaitu 19,896 orang, diikuti kumpulan pengurusan dan profesional (13,718) serta pengurusan tertinggi (69).

Menjawab soalan tambahan Siti Aminah mengenai usaha menyelaraskan dasar Borneonisasi bagi menangani isu graduan tempatan yang menganggur, Mustapha berkata kadar pengangguran siswazah di Sabah menunjukkan trend penurunan.

Memetik statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beliau berkata kadar pengangguran siswazah di Sabah turun kepada 7.1 peratus atau 22,700 orang pada 2024 berbanding 7.9 peratus pada 2023.

Menurut Mustapha, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, yang dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan diterajui JPA bersama kerajaan kedua-dua negeri.

Sementara itu, beliau bersetuju dengan cadangan supaya satu mekanisme diwujudkan bagi meningkatkan pengambilan serta pelantikan anak Sabah dalam perkhidmatan diplomatik serta penempatan di pejabat agensi kerajaan di luar negara.

Beliau menyatakan perkata itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (GRS-Penampang) yang mencadangkan agar pegawai kelahiran Sabah turut dilantik sebagai duta besar, pesuruhjaya tinggi serta ditempatkan di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Perkara ini mungkin akan saya minta JPA dan agensi berkaitan untuk beri tumpuan. Ini antara aspek yang mungkin kurang kita tekankan sebelum ini.

“Setakat ini bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebanyak 19 pegawai dari Sabah berada di peringkat pengurusan dan profesional, manakala 11 orang dalam kumpulan pelaksana,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement