KUALA LUMPUR: Nilai perdagangan Malaysia direkodkan melepasi RM2 trilion selama tiga tahun berturut-turut dengan China terus menjadi rakan dagang terbesar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata nilai perdagangan tahun lalu ialah lebih RM2.64 trilion.

Katanya, prestasi perdagangan negara telah memenuhi unjuran yang digariskan dalam Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan (MOF) dalam semua aspek perdagangan, eksport dan import.

"China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, mengambil 17.1% bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

"Sambutan ulang tahun yang penting ini, mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk mengukuhkan hubungan perdagangannya dengan China," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya Matrade menerajui sejumlah besar inisiatif untuk memacu eksport Malaysia ke China dan negara ASEAN.

Tambah beliau, Matrade sentiasa memenuhi keperluan syarikat Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka dan menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mewujudkan kehadiran dalam pasaran baharu dan menyumbang nilai tambah di seluruh rantaian bekalan.
.