KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini dalam dagangan lengang berikutan penutupan pasaran Amerika Syarikat (AS) sempena cuti Ulang Tahun Washington pada Isnin, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.4305/4350 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.4280/4325

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS telah menunjukkan arah aliran menaik yang penting berbanding ringgit dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan gandingan mata wang itu kini menghampiri tahap rintangan sekitar 4.4300.

"Ini boleh menyebabkan USD/MYR turun ke arah 4.3600," katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes menjangkakan pertukaran mata wang asing Asia --termasuk ringgit akan diniagakan dalam julat ketat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada hari Rabu.

"Masih ada lagi sikap berhati-hati dalam kalangan pelabur, justeru saya percaya pelabur masih jangkakan langkah Rizab Persekutuan AS yang kelihatan cenderung kepada menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2997/3035 daripada 3.2998/3036 pada penutup Isnin tetapi susut berbanding dolar Singapura menjadi 3.3152/3191 daripada 3.3136/3172 semalam.

Bagaimanapun, ringgit lebih lemah berbanding euro kepada 4.7300/7348 daripada 4.7291/7339 dan turun berbanding pound Britain menjadi 5.3286/3340 daripada 5.3233/3288 sebelumnya.

-- BERNAMA