KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd melantik Tan Chor Sen sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 1 Jan 2023, menggantikan Datuk Ong Eng Bin yang akan bersara.

Pengerusi OCBC Malaysia Tan Ngiap Joo berkata Chor Sen mempunyai rekod prestasi yang kukuh dengan kumpulan OCBC berikutan beliau berjaya membina perniagaan yang kukuh dan juga pasukan yang kuat di seluruh rantau ini.

"Saya yakin Chor Sen akan membawa francais OCBC di Malaysia ke fasa pertumbuhan dan transformasi seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

Bank itu berkata pengetahuan mendalam Chor Sen tentang ASEAN dan pengalaman yang luas dalam menghubungkan syarikat di seluruh rantau ini akan mengembangkan francais OCBC Malaysia melangkaui perniagaan tempatannya yang telah lama bertapak.

Beliau memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong, memperkenalkan model perniagaan baharu, penyelesaian digital dan inovasi perkhidmatan yang disesuaikan untuk segmen ini.

Beliau secara aktif mengetuai teras strategik bank untuk mengukuhkan aliran perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dalam ASEAN dan Greater China.

Chor Sen telah berkhidmat dengan OCBC Bank di Singapura selama lebih daripada 17 tahun dan merupakan ahli jawatankuasa pengurusan di peringkat kumpulan.

Beliau kini merupakan Ketua Perbankan Perusahaan Global Antarabangsa di ibu pejabat OCBC Bank di Singapura, mengawasi pertumbuhan perniagaan aliran rentas sempadan PKS dan syarikat bermodal sederhana di rantau ini.

-- BERNAMA