KUALA LUMPUR: Berdasarkan data National Oral Health Survey of Adults 2010, sebanyak 94 peratus golongan dewasa di Malaysia mengalami penyakit gusi.

Ramai antara kita menganggap simptom penyakit gusi seperti pendarahan ketika menggosok gigi sebagai sesuatu yang normal.

Kesihatan gusi sering diabaikan dan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap penyakit itu juga dilihat masih rendah.

Pengurus Besar Kanan Southern Lion Sdn Bhd, Carmen Foo berkata punca utama penyakit gusi adalah plak.

“Plak merupakan satu lapisan lembut dan melekit yang mengandungi berbilion-bilion bakteria.

“Apabila plak terkumpul di antara gigi, di sepanjang garisan gusi dan di dalam poket gusi, toksin dari bakteria akan merosakkan tisu gusi,” katanya ketika pelancaran kempen Gumbatte Towards Healthy Gums and Teeth yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Menurut laporan diterbitkan oleh National Health Service United Kingdom, kesihatan oral terbukti mempunyai kaitan rapat dengan kesihatan sistem badan lain termasuk penyakit jantung, strok, diabetes, artritis rheumatoid dan terbaharu Alzheimer.

Justeru, langkah pencegahan dalam kesihatan oral seperti pengesanan awal dan rawatan penyakit gusi boleh mengubah keselanjaran penyakit oral selain mampu menangani beban kumulatif ke atas kesihatan awam.

Kempen Gumbatte Towards Healthy Gums and Teeth berlangsung pada 1 April hingga 30 April lalu.

Prihatin terhadap perkara tersebut, pakar kesihatan gusi dari Jepun, Systema bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) bagi menganjurkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘Gumbatte Towards Healthy Gums and Teeth’.

Kempen CSR dilaksanakan secara holistik ini adalah termasuk pengedaran sebanyak 10,000 ubat gigi Systema saiz sampel kepada orang awam serta 9,000 unit ubat gigi Systema saiz penuh kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr Chong Zhen Feng berkata, MDA telah lama bekerjasama dengan Systema bagi menjayakan kempen kesihatan oral.

“Di Malaysia penyakit gusi sering berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan oral yang baik.

“Menerusi kempen Gumbatte Towards Healthy Gums and Teeth ini, ia diharap dapat menyalurkan pengetahuan berkaitan kesihatan oral di seluruh negara dan dapat meningkatkan kesihatan umum dan oral di Malaysia,” ujarnya.

Jadikan rutin memberus gigi sebanyak dua kali sehari, sekurang-kurangnya selama dua minit sebagai amalan kesihatan oral anda.

Menerusi kempen ini, ia dilihat dapat memberi kesan positif kepada masyarakat.

Layari laman web interaktif www.gumhealthcheck.com bagi pemeriksaan kesihatan gigi secara percuma.

Orang ramai juga boleh melakukan pemeriksaan gigi secara percuma di klinik-klinik MDA yang mengambil bahagian.