Ringkasan AI
- Jonathan Rinderknecht didapati bersalah oleh juri persekutuan AS atas dua pertuduhan membakar harta benda dan melakukan khianat melalui pembakaran.
- Kebakaran Palisades pada Januari 2025 mengorbankan 12 nyawa, memusnahkan 6,800 bangunan dan menyebabkan kerugian dianggarkan AS$150 bilion.
- Rinderknecht kekal ditahan sejak ditangkap pada Oktober 2025 sementara menunggu hukuman, dengan setiap pertuduhan membawa maksimum 20 tahun penjara.
LOS ANGELES: Seorang lelaki yang dituduh menyebabkan kebakaran hutan Palisades, antara insiden kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles, disabitkan kesalahan oleh juri persekutuan Amerika Syarikat (AS) selepas perbicaraan semula kes itu.
Menurut Reuters, Jonathan Rinderknecht, 30, didapati bersalah atas dua pertuduhan membakar harta benda menggunakan api dan melakukan perbuatan khianat melalui pembakaran. Setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.
Kes itu membabitkan kebakaran Palisades pada Januari 2025 yang mengorbankan 12 nyawa serta memusnahkan kira-kira 6,800 bangunan, dengan kerugian dianggarkan mencecah AS$150 bilion.
Perbicaraan pertama pada Jun lalu gagal mencapai keputusan sebulat suara selepas juri berpecah pendapat, sebelum pihak pendakwaan memfailkan semula kes terbabit.
Pendakwa raya berhujah Rinderknecht dengan sengaja menyalakan api di kawasan semak berhampiran Santa Monica Mountains pada 1 Januari 2025.
Walaupun api itu pada mulanya berjaya dipadamkan, bara dipercayai terus membara sebelum tercetus semula beberapa hari kemudian akibat angin kencang dan merebak menjadi kebakaran besar.
Peguam bela pula menegaskan anak guamnya tidak bersalah dan mendakwa kebakaran awal mungkin berpunca daripada bunga api sambutan Tahun Baharu, manakala kebakaran besar yang berlaku kemudian berkemungkinan dicetuskan pihak lain.
Reuters melaporkan rakaman kamera keselamatan serta data lokasi telefon bimbit menunjukkan Rinderknecht adalah satu-satunya individu yang berada berhampiran lokasi ketika kebakaran pertama bermula.
Lelaki yang mempunyai kerakyatan AS dan Perancis itu sebelum ini menafikan pernah menyalakan sebarang kebakaran secara sengaja.
Dalam satu pengakuan bertulis kepada mahkamah, dia menyatakan dirinya hanya menyaksikan kejadian berkenaan sebelum menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkannya.
Pihak pendakwaan turut mendakwa Rinderknecht menggunakan aplikasi kecerdasan buatan ChatGPT ketika membuat panggilan kecemasan bagi mendapatkan maklumat sama ada seseorang boleh dipertanggungjawabkan atas kebakaran yang berpunca daripada rokok.
Dia kekal ditahan sejak ditangkap di Florida pada Oktober 2025 sementara menunggu hukuman dijatuhkan.