Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Perancis membuka siasatan terhadap Gerard Depardieu dan Michel Houellebecq atas dakwaan kesalahan seksual ketika penggambaran filem Thalasso pada 2018.
- Pelakon wanita mendakwa Depardieu melakukan hubungan seksual tanpa persetujuan dan Houellebecq memaksanya, manakala pengarah Guillaume Nicloux disiasat atas dakwaan bersubahat.
- Rakaman adegan didakwa telah dimusnahkan, dan peguam kedua-dua tertuduh belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan terbaharu itu.
PARIS: Pihak berkuasa Perancis membuka siasatan terhadap pelakon terkenal Gerard Depardieu dan penulis Michel Houellebecq susulan dakwaan kesalahan seksual yang dikemukakan seorang pelakon wanita berhubung kejadian ketika penggambaran filem Thalasso pada 2018.
Menurut laporan BBC yang memetik sumber mengetahui siasatan itu, siasatan kehakiman dimulakan selepas aduan rasmi dikemukakan pada Mei tahun lalu.
Pelakon wanita yang identitinya tidak didedahkan mendakwa Depardieu melakukan hubungan seksual tanpa persetujuannya, manakala Houellebecq didakwa memaksanya melakukan perbuatan seksual. Dakwaan tersebut pertama kali didedahkan menerusi laman penyiasatan Perancis, Mediapart.
Wanita itu mendakwa adegan berkenaan tidak pernah terkandung dalam skrip asal dan menyebabkan beliau mengalami penghinaan serta trauma yang mendalam.
Laporan turut menyebut pengarah filem, Guillaume Nicloux, disiasat atas dakwaan bersubahat kerana didakwa merakam kejadian tersebut.
Namun, beliau menafikan berlaku sebarang paksaan atau tanda ketidakselesaan ketika adegan itu dirakam.
Menurut BBC, dokumen produksi yang didedahkan Mediapart menunjukkan rakaman berkaitan adegan berkenaan telah dimusnahkan.
Kes itu menambah tekanan terhadap Depardieu, 77, yang sebelum ini disabitkan dalam kes serangan seksual berasingan dan dijatuhi hukuman penjara tertangguh selama 18 bulan.
Minggu depan, bintang filem Asterix and Obelix itu juga dijangka mengetahui sama ada beliau akan dibicarakan dalam satu lagi kes rogol melibatkan pelakon Charlotte Arnould.
Setakat ini, peguam Depardieu dan Houellebecq belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan terbaharu tersebut, lapor BBC.