Pasaran getah Malaysia diunjurkan pulih minggu depan apabila semakin banyak pelabur kembali ke pasaran selepas menyambut perayaan Tahun Baru Cina, kata seorang peniaga.

Beliau berkata pasaran tempatan juga berkemungkinan menjejaki pemulihan di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) minggu depan apabila harga mengakhiri dagangan lebih tinggi daripada paras sokongan utama, 320 yen.

"Harga TOCOM turun minggu ini kerana terjejas oleh prestasi yen yang lebih kukuh dan kebimbangan tentang prospek ekonomi Eropah.

"Yen meningkat teguh menjelang mesyuarat G20 hujung minggu ini, dan ini menggalakkan pelabur menjual kontrak untuk menghentikan kejatuhan, manakala kebimbangan tentang permintaan yang lemah di Eropah masih menghantui pasaran getah" katanya.

Seorang peniaga lain menjangkakan permintaan baharu dalam pasaran getah tempatan apabila semakin ramai pelabur kembali dari percutian.

"Pasaran agak lengang minggu ini kerana kebanyakan pelabur mengambil cuti selama seminggu sempena Tahun Baru Cina dan cuti sekolah," tegas beliau.

Berbanding Jumaat lepas, harga tunai rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR20 turun 16 sen minggu ini kepada 942 sen sekilogram manakala harga susu getah pukal susut tiga sen kepada 622 sen.

Harga penutupan tidak rasmi bagi SMR20 jatuh 16 sen kepada 942 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun empat sen kepada 621 sen sekilogram.