KUALA LUMPUR: Pasaran kewangan domestik Malaysia terus membuat penyelarasan secara teratur disokong oleh aliran dua hala yang seimbang bagi memastikan proses penentuan harga yang berkesan dalam kalangan peserta pasaran, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia.
'Ringkasan Perbincangan' Mesyuarat FMC 2/2026 mendedahkan keadaan pasaran kekal kondusif bagi syarikat korporat untuk mengumpul dana bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka.
“Melangkah ke hadapan, faktor luaran seperti ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga minyak dan persekitaran kadar faedah global yang sedang berubah terus menjadi cabaran jangka pendek bagi pasaran domestik.
"Bagaimanapun, ahli jawatankuasa berpandangan kenaikan hasil bon baru-baru ini mungkin menawarkan titik kemasukan yang menarik kepada pelabur asing, memandangkan sentimen pelabur terhadap Malaysia terus kekal positif,” jelas FMC.
Langkah berterusan seperti program pelabur pemastautin yang layak serta penglibatan dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat korporat bagi membawa pulang serta menukarkan pendapatan mereka dalam mata wang asing, dijangka terus menyokong pasaran pertukaran asing dan bon.
FMC turut menyatakan pergerakan terbaharu dalam pasaran kewangan domestik dipacu terutamanya oleh faktor global khususnya perkembangan berkaitan kadar dasar Amerika Syarikat (AS).
“Prospek yang semakin meningkat terhadap kadar faedah AS yang lebih tinggi serta kenaikan kadar yang dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan AS menyebabkan dolar AS mengukuh dan hasil Perbendaharaan AS meningkat.
"Perkembangan ini seterusnya mencetuskan penyelarasan secara meluas dalam pasaran global termasuk mata wang dan bon serantau,” tambahnya.
Bagi mata wang, ia menyatakan ringgit menyederhana pada September selepas kekal secara amnya stabil pada Julai dan Ogos manakala hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) turut meningkat selepas tempoh kestabilan relatif yang berpanjangan.
Perkembangan ini berlaku susulan penilaian semula yang lebih meluas terhadap jangkaan kadar faedah global serta peningkatan hasil bon global.
Ahli jawatankuasa turut melihat minat yang kukuh terhadap terbitan bon korporat serta peningkatan aktiviti lindung nilai.
-- BERNAMA