Kemampuan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dalam tempoh enam bulan berjaya memperbaiki persepsi secara keseluruhannya terhadap syarikat itu.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam berkata, pelan rasionalisasi itu berjaya mencapai objektifnya kerana ia telah dilaksanakan secara sistematik dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Dr Nazri berkata, bagi meneruskan proses pemulihan syarikat itu, 1MDB perlu mengukuhkan lagi modal perniagaan yang mampu menjana keuntungan semula.

"Saya yakin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda mempunyai lebih banyak rancangan yang bukan sahaja tertumpu kepada pengurangan hutang, tetapi menjana keuntungan.

"Selepas fasa 6 bulan, 1MDB sudah dilihat mempunyai visi yang strategik dan fokus yang baik dan saya harap ia dapat diteruskan pada fasa seterusnya," kata Dr Nazri dalam satu temubual bersama Astro AWANI.

Beliau percaya, 1MDB boleh meraih semula keyakinan pelabur dengan memberi keutamaan kepada kelebihannya dalam sektor hartanah dan loji tenaga tanpa perlu bersaing dengan syarikat tempatan yang lain.

"Penjualan Edra Global Energy Bhd dan 60 peratus pegangan Bandar Satu Malaysia adalah bukti keyakinan pelabur terhadap 1MDB," katanya.

Dr Nazri menekankan sebagai syarikat dana berdaulat, 1MDB bertanggungjawab untuk memberikan ketelusan dan tadbir urus dalam modal perniagaannya.

Selain itu, beliau juga berharap syarikat pembangunan strategik itu akan membuat bidaan pada tender di luar negara, pada masa sama menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.