Skip to main content

Malaysia

MCMC saman Google kerana culas, lambat tangani kandungan judi dalam talian

Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaman Google selepas mendapati kandungan berunsur judi dalam talian, khususnya di platform YouTube, sering lewat ditangani oleh syarikat gergasi teknologi itu.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses berhubung tindakan itu telah berlangsung agak panjang, terutama membabitkan aduan terhadap kandungan judi dalam talian di platform berkenaan.

Beliau berkata, terdapat aduan yang mengambil masa lebih 90 hari untuk tindakan, manakala status sebahagian kandungan yang dilaporkan masih tidak diketahui sehingga kini.

Advertisement

“Pihak YouTube khususnya dan Google sangat culas dan sangat lewat untuk mengambil tindakan. Ada yang mengambil masa lebih 90 hari, dan ada yang sehingga ke hari ini tidak diketahui apa statusnya.

“Walaupun sifat kandungan tersebut berulang, kebiasaannya apabila pihak MCMC memfailkan aduan, ia adalah kandungan yang serupa berkait dengan judi dalam talian, tetapi pihak Google dan YouTube masih mengingkarinya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai tindakan MCMC menyaman Google berbanding menggunakan kuasa kawal selia atau pelesenan sedia ada untuk mengarahkan syarikat itu mengambil tindakan terhadap kandungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata tindakan saman itu merupakan langkah yang dipilih MCMC bagi memastikan YouTube mematuhi kerangka kawal selia yang ditetapkan.

Ujarnya, memandangkan perkara itu kini telah difailkan di mahkamah, proses selanjutnya akan diserahkan kepada proses perundangan.

“Oleh sebab perkara ini sudah difailkan di mahkamah, kita serahkan kepada proses perundangan tersebut," katanya lagi.

Pada 25 November lalu, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.

Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan, manakala saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.

Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, saman MCMC terhadap Google berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan memudaratkan di YouTube telah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia.
 

Must Watch Video

Advertisement