Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Walau didesak akar umbi, Wilson umum tidak pertahan DUN Pelagus

Wilson (foto) berkata beliau menerima dengan hati terbuka dan menghormati keputusan pucuk pimpinan PRS, khususnya keputusan muktamad Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -Foto fail/Wikipedia
Wilson (foto) berkata beliau menerima dengan hati terbuka dan menghormati keputusan pucuk pimpinan PRS, khususnya keputusan muktamad Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -Foto fail/Wikipedia
Advertisement

KUCHING: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, pada Jumaat mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 dan akan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Pelagus.

Dalam kenyataan media, Wilson, 67, mengakui terdapat spekulasi bahawa beliau akan bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN N61 Pelagus.

“Saya akui bahawa pada mulanya terdapat hasrat dan desakan daripada peringkat akar umbi agar saya terus mempertahankan kerusi DUN N61 Pelagus pada PRN-13, dan saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah dizahirkan.

Advertisement

“Namun demikian, setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan serta mengadakan perbincangan bersama ahli-ahli jawatankuasa PRS Bahagian Pelagus dan mendengar pandangan akar umbi, ketua-ketua masyarakat serta ketua-ketua kaum, demi kestabilan politik, keutuhan parti serta kelangsungan agenda pembangunan Pelagus dan Sarawak secara keseluruhannya, saya dengan ini secara rasmi mengumumkan bahawa saya tidak akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut," katanya.

Advertisement

Wilson berkata beliau menerima dengan hati terbuka dan menghormati keputusan pucuk pimpinan PRS, khususnya keputusan muktamad Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat Pelagus, barisan kepimpinan PRS Bahagian Pelagus, ketua masyarakat, ketua kaum serta semua pihak yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan kepada saya sepanjang dua penggal perkhidmatan sebagai wakil rakyat DUN Pelagus sejak 2016,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN Sarawak Ke-12, Wilson meraih majoriti 1,049 undi untuk menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kristoffer Nyuak Bajuk; Solomon Kumbong (DAP); Nyambong Sibat (Parti Bumi Kenyalang, PBK) dan Moses Ripai (Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu, PBDSB).

Pada Rabu lalu, bekas Pegawai Daerah Kapit dan Kanowit, Cerislogo Sabut, 58, diumumkan sebagai calon muka baharu GPS bagi kerusi berkenaan.

Susulan keputusan Wilson untuk tidak mempertahankan kerusinya, Cerislogo dijangka berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Moses Ripai yang mewakili PBDS serta Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien, yang pernah memenangi kerusi itu selama dua penggal.

Must Watch Video

Advertisement