KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kong sebagai calon bagi kerusi Bawang Assan dan Senadin berdasarkan pengalaman mereka dalam politik.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, kedua-dua calon itu mempunyai pengalaman politik yang luas selain berkelayakan menggalas tanggungjawab tersebut.
Menurutnya, Alan yang pernah bertanding dua kali dalam pilihan raya negeri sebelum ini pada awalnya bercadang untuk tidak menyertai PRN kali ini, namun bersetuju selepas diminta oleh parti susulan perkembangan semasa.
“Alan sebenarnya pada awalnya mencadangkan untuk tidak bertanding kali ini. Namun, mengambil kira keadaan semasa, parti memintanya untuk tampil dan beliau bersetuju,” katanya pada Sidang Media DAP Sarawak, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Chong berkata, Alice juga pada asalnya tidak berhasrat bertanding dalam PRN kali ini, namun bersedia menerima tanggungjawab berkenaan atas keperluan parti.
“Sebenarnya, dia (Alice) juga tidak berniat untuk bertanding dalam pilihan raya negeri ini, tetapi memandangkan keadaan semasa (dan) kedua-dua mereka layak. Mereka veteran dalam politik. Mereka ada pengetahuan dan pengalaman,” katanya lagi.
Sementara itu, Chong berkata penyertaan DAP di 14 kerusi berkenaan merupakan tawaran parti itu kepada rakyat Sarawak, khususnya bagi memastikan sistem semak dan imbang yang lebih kukuh.
“Kami menawarkan diri untuk bertanding di 14 kerusi ini dan terpulang kepada rakyat Sarawak, khususnya pengundi di kawasan masing-masing, untuk menentukan siapa yang mahu dipilih.
“Tawaran kami adalah untuk mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih kukuh,” ujarnya.
Chong sebelum itu mengumumkan DAP akan bertanding di dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurut beliau, dua kerusi berkenaan ialah Bawang Assan dan Senadin menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi parti itu sebanyak 14.