KUALA LUMPUR: Kerja pemasangan landasan bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi keseluruhan jajaran dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor sepanjang 519 kilometer (km) telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) memaklumkan pencapaian ini menandakan selesainya fasa pembinaan landasan, termasuk pemasangan sistem berkaitan, sekali gus menandakan projek ECRL kini secara rasmi memasuki fasa ujian dan pentauliahan.
Advertisement
“Fasa akhir, iaitu Fasa 4 yang meliputi jajaran sepanjang 126 km dari Maran ke Gombak, bermula pada April 2025 dan berjaya disiapkan pada 5 Feb, 2026, kira-kira dua minggu lebih awal daripada jadual,” menurut kenyataan syarikat yang merupakan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) projek ECRL itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo berkata dengan siapnya pemasangan landasan dan kerja elektrifikasi yang sedang dijalankan di sepanjang jajaran Kota Bharu–Gombak di Selangor, ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) menandakan permulaan fasa ujian perjalanan sejauh 8,000 km tanpa gangguan.
“Pencapaian ini membawa projek ECRL selangkah lebih dekat ke arah operasi penuh yang dijadualkan pada Januari 2027, sekali gus mencerminkan komitmen kami terhadap ketepatan, keselamatan dan penyampaian projek infrastruktur bertaraf dunia,” katanya.
Kerja pemasangan landasan projek ECRL secara rasmi bermula pada Disember 2023 dengan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan Port City (KPC).
Menurut kenyataan itu, jajaran kemudiannya diteruskan ke utara dari KPC melalui Maran, seterusnya ke Dungun sebelum tiba di Kota Bharu.
Laluan yang meliputi jarak masing-masing 92 km, 95 km dan 206 km itu mencerminkan kemajuan berterusan projek, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan Fasa 4 dan kejayaan menyiapkan keseluruhan jajaran Kota Bharu–Gombak.
Setakat Februari 2026, projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan kira-kira 92.62 peratus, mencerminkan perkembangan konsisten merentas semua fasa serta kesiapsiagaan untuk memasuki peringkat ujian dan pentauliahan.
-- BERNAMA