Malaysia tidak terlibat dengan arahan pengeluar coklat Mars antarabangsa yang menarik balik jualan produk keluarannya, Mars dan Snickers serta coklat mini Milky Way di 55 negara di Eropah selepas kepingan plastik dijumpai di dalam produk tersebut di Jerman.

Insiden itu juga dianggap sebagai satu kes terpencil.

Menurut Pengurus Besar Mars Chocolate Southeast Asia & Thailand, Terry Seremetis, pihak Mars telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk secara sukarela menarik balik produk terbabit yang dikilangkan di Belanda.

“Arahan menarik balik hanya terhad kepada produk yang dikilangkan di Belanda dalam tempoh 5 Dis 2015 hingga 18 Jan 2016.

“Ini adalah kejadian terpencil dan hanya produk yang dikilangkan di Belanda yang terjejas.

“Tiada produk coklat, bungkusan atau mana-mana saiz yang selainnya yang terbabit dan tiada juga produk yang dikilang di lokasi lain terbabit (arahan menarik balik).

“Secara khususnya di Malaysia, tiada arahan menarik balik secara sukarela atau membabitkan mana-mana produk yang dijual oleh pengedar DKSH Malaysia Sdn Bhd yang mengimport produk itu dari China, Australia dan Amerika Syarikat,” kata Seremetis dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Serementis berkata sebagai pengilang makanan yang bertanggungjawab, pihak Mars mengambil berat soal kualiti dan keselamatan makanan.

Buat pengguna yang mempunyai soalan untuk diajukan, mereka boleh menghubungi Mars Foods Malaysia di talian 03-7844 3300.