KUALA LUMPUR: RHB Research menaikkan unjuran pendapatan KPJ Healthcare Bhd bagi separuh kedua 2026 (2H26) kepada RM258 juta, meningkat 11% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu menyifatkan sasaran itu boleh dicapai berdasarkan momentum operasi 1H26 serta panduan pengurusan dalam taklimat baru-baru ini mengenai peningkatan margin secara berurutan pada 2H26.
Katanya, prestasi positif itu dijangka disokong momentum operasi yang lebih baik, sekali gus mendorong firma penyelidikan menaikkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tempoh 2026 hingga 2028 sebanyak 9%.
"Óleh itu kami mengekalkan saranan BELI dengan sasaran harga baharu RM4.01 berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF), berbanding RM3.77 sebelum ini, yang memberikan potensi kenaikan sebanyak 28%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
KPJ Healthcare mencatatkan prestasi kukuh pada 1H26 dengan hasil meningkat 13% tahun ke tahun kepada RM2.25 bilion, manakala keuntungan bersih melonjak hampir 25% kepada RM173.57 juta.
Bagi 2Q26 sahaja, keuntungan bersih meningkat 27% kepada RM103.92 juta, manakala hasil naik 17% kepada RM1.20 bilion.
RHB Research berkata peningkatan unjuran pendapatan turut mengambil kira pertumbuhan intensiti hasil pesakit dalam 2026 sebanyak 6%, berbanding 4.5% sebelum ini, manakala pertumbuhan jumlah pesakit dalam dinaikkan kepada 3.5% daripada 2%.
Selain itu, unjuran penambahan kapasiti bagi 2026 dinaikkan kepada 250 katil daripada 150 katil sebelum ini, berbanding sasaran pengurusan sekitar 4,200 katil.
Tekanan hospital baharu semakin mengecil
Menurut RHB Research, lima hospital KPJ masih mencatatkan kerugian selepas cukai, namun kesemuanya sudah mencatatkan EBITDA positif, manakala jumlah tekanan kerugian mengecil sekitar 23% tahun ke tahun pada 1H26.
Penambahbaikan itu sebahagian besarnya didorong penyusutan kerugian di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) dan Kuala Selangor.
Kuala Selangor dan Batu Pahat pula dijangka berpotensi mencapai titik pulang modal menjelang akhir 2026 atau awal 2027.
Dalam pada itu, pusat kecemerlangan (COE) terus menjadi pemangkin kepada peningkatan kes berkompleksiti tinggi dalam rangkaian KPJ.
Hasil segmen jantung dan paru-paru di Johor Specialist Hospital meningkat lebih 30% tahun ke tahun, manakala segmen neurologi dan strok di DSH2 mencatatkan pertumbuhan dua digit yang kukuh selepas penubuhan COE.
COE keempat KPJ, yang memberi tumpuan kepada onkologi, disasarkan ditubuhkan sebelum akhir 2026.
Firma penyelidikan itu berkata perkembangan COE secara berperingkat membolehkan KPJ mengekalkan lebih banyak kes berkompleksiti tinggi yang sebelum ini dirujuk kepada pesaing akibat jurang keupayaan.
“Ini sepatutnya meningkatkan tahap kompleksiti kes dan jumlah pesakit dalam,” katanya.
MediAsas beri kelebihan struktur kepada KPJ
Mengenai MediAsas, RHB Research melihat liputan geografi KPJ sebagai satu kelebihan struktur yang berpotensi semakin penting dalam pembaharuan pembiayaan penjagaan kesihatan.
Pengurusan menekankan rangkaian hospital KPJ di seluruh negara berbanding pesaing yang mempunyai empat atau lima aset yang kebanyakannya tertumpu di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
"Sekiranya pengelasan Tier 1 turut mengambil kira aspek kebolehcapaian selain saiz bil rawatan, rangkaian nasional KPJ berpotensi memberikan kelebihan yang belum sepenuhnya dicerminkan dalam penilaian sektor terhadap risiko margin MediAsas," katanya. - DagangNews.com