KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd susut kepada RM383.40 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) berbanding RM389.54 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya disebabkan oleh volum jualan gas asli yang lebih rendah, perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi serta penurunan sumbangan daripada syarikat usaha sama kumpulan itu.

Bagaimanapun, ia diimbangi oleh peningkatan dalam pendapatan kewangan pada TK2023, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

Perolehan untuk tahun tersebut, bagaimanapun, menokok kepada RM8. 08 bilion daripada RM7.65 bilion sebelumnya, sejajar dengan purata harga jualan gas asli yang lebih baik tetapi dikurangkan oleh jualan volum gas asli yang lebih rendah pada tahun itu.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih Gas Malaysia melonjak kepada RM104.33 juta berbanding RM95.23 juta, manakala hasil turun kepada RM1.80 bilion daripada RM2.22 bilion disebabkan purata harga jualan gas asli yang lebih rendah.

Ini telah dikurangkan oleh volum gas asli yang lebih tinggi yang dijual pada suku semasa, tambahnya.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai masa hadapan menjelaskan ia akan terus mengambil langkah berhemat bagi mengekalkan kecekapan operasinya agar kekal berdaya saing, sambil mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya.

"Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan, lembaga pengarah menjangkakan bahawa kumpulan itu akan memberikan prestasi yang memuaskan untuk TK2024 seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi domestik," tambahnya lagi.

Gas Malaysia mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8.42 sen sesaham berjumlah RM108.1 juta untuk TK2023, yang perlu dibayar menjelang 3 April 2024.

-- BERNAMA