Para penganalisis yakin bahawa Pengerusi Petronas yang baru dilantik, Datuk Ahmad Nizam Salleh, 62, akan memberi sumbangan besar berikutan pengalamannya yang luas dengan syarikat minyak negara itu.

Menggambarkan latar belakangnya sebagai "menarik", Ketua Penyelidik MIDF, Mohd Redza Abdul Rahman berkata, pengalaman luas Ahmad Nizam, daripada minyak mentah hingga gas asli cecair dengan Petronas, akan membolehkan beliau memenuhi tanggungjawabnya dengan berkesan.

"Selain perniagaan berkaitan huluan, beliau juga mempunyai pengalaman dalam perniagaan hiliran semasa beliau berkhidmat dengan Engen Ltd, sebuah anak syarikat 80 peratus milik Petronas di Afrika Selatan.

"Saya boleh nyatakan yang Pengerusi baru ini mempunyai banyak pengalaman untuk menjayakan tugasnya dan saya percaya beliau boleh memberi sumbangan besar kepada lembaga," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penganalisis yang mempunyai pandangan yang sama, mengalu-alukan pengumuman yang Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, 57, kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Petronas.

Menurutnya, Petronas memerlukan tokoh berkebolehan seperti beliau untuk memacunya ke depan memandangkan syarikat berkenaan merupakan penyumbang utama kepada dana kerajaan.

Pada Rabu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ahmad Nizam sebagai Pengerusi Petronas, berkuat kuasa serta-merta manakala Wan Zulkiflee kekal sebagai Presiden dan CEO Kumpulan.

Ahmad Nizam telah bekerja dalam industri minyak dan gas selama 37 tahun dan memegang beberapa jawatan penting dalam Petronas.

Antara lain, beliau adalah Pengarah Urusan Engen Ltd di Afrika Selatan dan CEO daripada Julai 2010 hingga Ogos 2015, dan juga menerajui Malaysia LNG Dua Sdn Bhd dan Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd daripada Julai 2004 hingga Oktober 2007.

Sebelum ini beliau disebut-sebut sebagai pengganti kepada bekas Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican yang meninggalkan syarikat tersebut pada 2010 dan juga Tan Sri Shamsul Azhar Abbas pada 2015.

Ahmad Nizam, yang kini menduduki lembaga pengarah Universiti Malaysia Terengganu, menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengosongkan jawatan pengerusi pada 30 Jun 2018.

Pada awal perkhidmatan dengan Petronas, beliau memegang pelbagai jawatan sebagai penganalisis, perancang dan penyelaras projek dalam sektor perancangan dan kewangan korporat di ibu pejabat korporat daripada 1981 hingga 1987 dan beberapa jawatan di Petronas daripada 1988 hingga 2002.

-- BERNAMA